Headlines News :
Home » » Jawatankuasa khas langkah terbaik UMNO pasti kesetiaan ahli

Jawatankuasa khas langkah terbaik UMNO pasti kesetiaan ahli




KEPALA BATAS: Pembentukan jawatankuasa khas Umno bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota yang melakukan sabotaj ke atas parti serta calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang merupakan langkah terbaik, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 Katanya keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk mewujudkan jawatankuasa khas itu semalam merupakan sesuatu yang penting kerana sesebuah parti sememangnya mahukan anggotanya patuh dan setia.

 "Ini bermakna satu hari nanti apabila sampai masanya kita hadapi pilihan raya umum maka tentu sekali kita mengharapkan semua ahli parti akan setia pada parti, itu yang penting," katanya kepada pemberita di sini Sabtu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentukan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail serta dianggotai oleh beberapa anggota MT yang tidak berkepentingan, anggota Lembaga Disiplin dan wakil anggota setiap bahagian parti di seluruh negara.

 Jawatankuasa itu yang akan diwujudkan selari dengan peruntukan fasal 10.15 perlembagaan Umno, turut bertanggungjawab memberi definisi terhadap perbuatan khianat dan sabotaj kepada parti supaya setiap anggota jelas mengenai kesalahan tersebut.

 Dengan kewujudan jawatankuasa itu, tindakan tegas dan segera boleh diambil terhadap anggota parti tanpa perlu menunggu masa sehingga berbulan-bulan seperti yang berlaku sebelum ini. Terdahulu Abdullah, yang juga anggota Parlimen Kepala Batas, menyampaikan bantuan elaun sara hidup masing-masing sebanyak RM200 kepada 521 nelayan di sekitar Seberang Perai Utara di Kampung Bakau Tua dekat sini. Kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM10 juta setahun bagi pemberian elaun sara hidup kepada 4,552 nelayan di seluruh Pulau Pinang sejak tahun 2008. - BERNAMA
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger