Headlines News :
Home » , » Bajet 2018 : Kerajaan BN Adil

Bajet 2018 : Kerajaan BN Adil

GEORGE TOWN- Pengumuman kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam Bajet 2018 adalah bukti kerajaan persekutuan tidak pernah menganaktirikan negeri diterajui parti pembangkang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.


Beliau berkata pengumuman itu sekali gus menolak dakwaan Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada DAP sebelum ini yang ternyata meleset dan ia juga menunjukkan Malaysia tidak bankrap kerana kerajaan masih boleh menyediakan peruntukan untuk projek pembesaran LTAPP.

 "Bajet 2018 adalah bajet yang dirangka untuk memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat, satu bajet yang komprehensif dan inklusif. Satu bajet yang mengagihkan kekayaan dan kemakmuran negara hasil daripada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara kepada semua rakyat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

 Dalam Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini, kerajaan akan menaik taraf LTAPP dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selain membina baharu Lapangan Terbang Mukah serta pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.

 Zainal Abidin turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengadakan Zon Sempadan Khas Ekonomi di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang disifatkan sebagai pencetus perubahan untuk kawasan wilayah utara terutama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang turut memberi manfaat kepada Pulau Pinang.

 "Saya turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan memperuntukkan RM500 juta untuk pembinaan klinik pakar dan bangunan wad tambahan dengan 300 katil di Hospital Pulau Pinang dan dewan bedah di Hospital Balik Pulau," katanya.

 Berkongsi pandangan yang sama, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow berkata pengumuman itu jelas membuktikan bahawa kerajaan persekutuan tidak mempunyai sikap untuk mengabaikan kerajaan negeri yang bukan di bawah pentadbiran BN seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini. Beliau berkata perkara itu juga dapat dilihat menerusi pemansuhan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor.

 Dalam pada itu, Teng menyifatkan Bajet 2018 sebagai satu bajet yang memberi satu ruang besar untuk memajukan ekonomi negara melalui pelbagai langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

 "Pelbagai inisiatif diberi untuk mengurangkan bebanan rakyat yang berpendapatan sederhana termasuk pengurangan kadar cukai individu - dari segi memberi pelbagai insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita dapat lihat ia akan menggalakkan lagi pembangunan PKS," katanya. 

Sementara itu, Ketua Putera MIC Pulau Pinang NG Senthelnathan berkata peningkatan pengambilan kaum India ke institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam sebanyak tujuh peratus adalah satu pengumuman yang sangat ditunggu-tunggu oleh kaum itu. Beliau berkata pengumuman itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan kepada masyarakat India dalam usaha meningkatkan ekonomi kaum itu menerusi pendidikan dan kerjaya.

 "Dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang kita akan dapat lihat lebih ramai graduan daripada kaum India. Ini merupakan satu asas yang kami perlukan dalam usaha meningkatkan sosioekonomi kaum India. Inisiatif ini jelas menunjukkan perdana menteri sangat memahami masalah masyarakat India," katanya. - Bernama


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger