Headlines News :
Home » » ISU KALIMAH : TINDAKAN PROVOKATIF TERHADAP SENSITIVITI UMAT ISLAM - UMNO P.PINANG

ISU KALIMAH : TINDAKAN PROVOKATIF TERHADAP SENSITIVITI UMAT ISLAM - UMNO P.PINANG




Kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah Allah, jelas menunjukkan beliau tidak faham tentang bidang tugas, tanggungjawab dan undang-undang pentadbiran agama Islam di negara ini, menurut Umno Pulau Pinang.
  
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sepatutnya Guan Eng merujuk kepada Mufti negeri Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Exco agama negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai pentadbiran agama Islam di negeri ini.
  
"Tindakan beliau (Lim) mengatakan bahawa Seksyen 48(3) dan Seksyen 48(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 yang telah diwartakan pada April 2010 tidak boleh dikuatkuasakan atau terpakai ke atas orang bukan Islam adalah satu tindakan provokatif terhadap sensitiviti umat Islam yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama di negeri ini.

"Ia juga menunjukkan kekeliruan dan kejahilan ketua menteri sendiri berhubung penguatkuasaan fatwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng, seperti dilaporkan beberapa portal berita pada Jumaat, memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah. 
  
Ketua Menteri dilaporkan berkata larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.
Zainal Abidin berkata, kenyataan Guan Eng itu juga bercanggah dengan kenyataan bekas pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh pada Januari lepas yang telah meminta ketua menteri dan kerajaan negeri mendapatkan semakan kehakiman kerana fatwa larangan itu terpakai terhadap orang bukan beragama Islam di Pulau Pinang.
  
"Keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang adalah selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 dan juga keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes larangan penggunaan kalimah Allah oleh majalah The Herald," katanya.
Katanya Seksyen 3 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 juga dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di dalam Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam perlembagaan negeri Pulau Pinang.
"Kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong hanya boleh diturunkan kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas. Oleh yang demikian Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa dalam pentadbiran agama Islam di Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut mendesak Yang Dipertua MAIPP Datuk Salleh Man dan Exco Agama negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap kenyataan Lim supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger