Yang Dipertua Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (G-Pem), Mohd. Rizuad Mohd. Azudin berkata di sini hari ini, sebagai Ketua Menteri yang bertanggungjawab terhadap semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum di negeri ini, Guan Eng sepatutnya mengelak menyentuh isu terbabit bagi menghormati sensitiviti umat Islam.

Apatah lagi menurut beliau, isu penggunaan kalimah Allah itu juga sudah diputuskan oleh mahkamah, sekali gus tidak wajar dipertikai.

“Tindakan Guan Eng tidak profesional dan memperlihatkan seolah-olah beliau sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik meskipun menghiris perasaan umat Islam yang juga penduduk negeri ini.

“Apakah beliau berani bertanggungjawab sekiranya umat Islam yang marah bangkit mempertahankan kalimah Allah ini sehingga tercetusnya huru-hara di negeri ini?” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng semalam yang memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di negeri ini menggunakan kalimah Allah.