Headlines News :
Powered by Blogger.

Followers

BERITA BLOG

Fakta UMNO & BN lebih popular daripada PR di hampir semua negeri




BARISAN Nasional (BN) terus diberi mandat memerintah negara ini apabila memperolehi majoriti mudah 133 kerusi Parlimen pada PRU13 yang lalu sementara pakatan pembangkang yang dibarisi PKR, DAP dan Pas hanya memperoleh 89 kerusi sahaja.

Pada PRU12 di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN memenangi 140 kerusi Parlimen.Pada PRU13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904).

Bagaimanapun, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR.

Berdasarkan analisis keputusan pengundian PRU13, BN memperolehi undi popular di Perlis, Kedah dan Perak berbanding PR.

Di Kedah, Umno berjaya menguasai negeri itu dengan memperoleh undian sebanyak 399,890 bersamaan 45.28 peratus.

Manakala, Pas dan PKR pula hanya memperolehi sekitar 24.2 peratus. Perlis juga menjadi kubu kuat Umno kerana memenangi kesemua tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan memperolehi 64,192 undi bersamaan 55.55 peratus.

Umno juga mendominasi Perak apabila memperolehi undi sebanyak 277,859 bersamaan 24.64 peratus mengatasi undi parti lain. Calon BN tewas di beberapa kawasan kerana bilangan pengundi kaum Cina yang ramai.

DAP pula mendapat 261,882 undi, manakala Pas dan PKR masing mendapat 109,913 dan 244,073 undi di Perak.

Bagaimanapun, di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar dikuasai DAP yang memenangi kesemua enam kerusi Parlimen dan memperoleh undian tertinggi berbanding parti-parti lain.

Sebanyak 13 kerusi Parlimen yang dipertandingkan Pulau Pinang, hanya enam kerusi sahaja dimenangi DAP tetapi jumlah undiannya iaitu 272,664 bersamaan 37.72 peratus berbanding PKR hanya lima kerusi iaitu 177,896 bersamaan 24.61 peratus.

Umno yang bertanding di lima kerusi di Pulau Pinang hanya memperoleh 118,613 undian bersamaan 16.41 peratus.

Agak mengejutkan apabila analisis mendapati Umno mendominasi peratusan undian di kubu kuat Pas di Kelantan iaitu 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 untuk kerusi Parlimen.

Pas memperoleh 41.1 peratus dengan 332,407 jumlah undi. Bagaimanapun, PKR tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandingi dan hanya mendapat 9 peratus undian dengan 73,071 undian sahaja.

Rekod kerusi Parlimen di Terengganu pula menunjukkan Umno mendahului dalam kutipan jumlah undian, iaitu 283,455 dengan 51.5 peratus, hasil daripada kemenangan empat daripada lapan kerusi yang ditandingi.

Pas pula memperoleh 42.5 peratus dengan jumlah undi 233,893, manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Terengganu.

Umno turut merekodkan pencapaian tertinggi mendahului parti lain dengan 55.5 peratus atau 337,896 undi, berdasarkan kemenangan 10 kerusi yang ditandingi di Pahang.

Ini diikuti PKR yang mencatat 17.7 peratus dan memenangi tiga daripada lima kerusi yang ditandingi, sementara Pas merekodkan peratusan 17.2 peratus (104,743 undi).

DAP di Pahang tidak mendapat sambutan, di mana parti itu hanya memenangi satu daripada tiga kerusi Parlimen yang ditandingi dengan jumlah undi dipungut sebanyak 59,027 undi.

Di Selangor, PKR mendominasi kerusi Parlimen apabila memenangi sembilan daripada 11 kerusi ditandingi dengan jumlah 550,950 undi. Namun, pengaruh Umno tetap tidak boleh dinafikan kerana parti itu berjaya memporehi 335,406 undi berbanding Pas (270,506) dan DAP (253,302).

Di Wilayah Persekutuan, DAP memperlihatkan penguasaan apabila memenangi kesemua lima kerusi Parlimen ditandinginya dengan 229,337 undi. Pengaruh PR di Wilayah Persekutuan juga dibuktikan dengan jumlah undi dimenangi PKR iaitu 154,457 undi mengatasi Umno (127,771 undi) walaupun kedua-dua parti menang empat kerusi.

Di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, pengaruh Umno ternyata masih belum boleh digugat. Jumlah kerusi dan undi yang dimenangi parti ini tetap mendahului PR dengan peratusan melebihi 40 peratus di setiap negeri.

Sabah terus kekal menjadi negeri simpanan tetap Umno berdasarkan analisis mendapati parti itu mendominasi keseluruhan kerusi Parlimen dengan peratusan 88.2 peratus, manakala PKR hanya menang satu kerusi dengan jumlah 22,598 undi dengan peratusan 7.2 peratus manakala DAP hanya mendapat 14,226 undi atau 4.5 peratus.

Umno tidak ada di Sarawak tetapi neheri itu kekal sebagai kubu kuat BN.

Analisis juga mendapati jumlah undian rakyat di Sarawak terhadap DAP ialah 139,480 undi, manakala PKR memperoleh 26,909 undian hasil kemenangan satu kerusi.

Secara keseluruhan, Umno dan BN masih lagi kekal sebagai popular hampir di kesemua negeri, kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Ini diikuti oleh DAP yang masih kekal mendominasi di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, manakala dominasi PKR kekal di Selangor.

Umno kekal mendominasi di peringkat Parlimen kerana mampu untuk mendapat 3,416,310 undi dari 120 kerusi yang ditandingi dan mereka berjaya menang 88 daripadanya.

Manakala DAP pula mendapat 1,386,404 dari 51 kerusi Parlimen yang ditandingi, jumlah ini membuktikan bahawa DAP adalah parti yang masih popular dan menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu khususnya di kawasan bandar.

POLIS SIASAT DALANG MALAYSIA SPRING YANG DIDEDAHKAN TUNKU AZIZ




KUALA LUMPUR 18 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring seperti yang didakwa bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM telah menilai dan memandang serius dakwaan itu kerana perkara tersebut boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan awam.

Katanya, beliau sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk membuat laporan polis berhubung rancangan mengadakan Malaysia Spring supaya satu kertas siasatan dibuka bagi mengkaji kebenaran di sebalik dakwaan Tunku Abdul Aziz.

"Pendedahan yang dikatakan Tunku Abdul Aziz dianggap sesuatu yang amat serius kerana melibatkan ancaman terhadap keharmonian rakyat negara ini.

"Polis tidak boleh bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba merancang sesuatu yang berkaitan rusuhan dan keganasan.

"Oleh demikian saya sendiri meminta pegawai saya untuk membuat laporan polis supaya siasatan sepenuhnya tentang konspirasi Malaysia Spring dijalankan, seterusnya tindakan tegas diambil terhadap pihak-pihak yang didakwa mahu menjayakan perkara seumpama itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Tunku Abdul Aziz mendakwa pembangkang sudah lama merancang konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan sekiranya mereka kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dakwa beliau, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi terlampau seperti Arab Spring bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Tunku Abdul Aziz mendakwa, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0 selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada Malaysia Spring pada 26 April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Khalid memberitahu, beliau juga akan mengarahkan pegawainya bertemu dengan Tunku Abdul Aziz untuk mengumpul maklumat tentang konspirasi menggulingkan kerajaan.

"Kita akan berjumpa terus dengan beliau untuk mengambil setiap informasi yang beliau ada tentang konspirasi ini. Jika benar apa yang didedahkan Tunku Abdul Aziz semalam, tentu sekali maklumat itu akan membantu polis menjalankan siasatan berhubung perkara itu nanti," katanya.

Dalam pada masa sama, Khalid turut meminta pihak-pihak lain yang mempunyai maklumat tentang perkara itu ke depan dan berhubung dengan pihak polis dalam membantu siasatan.

"Kita menyeru mana-mana individu yang mengetahui tentang konspirasi menggulingkan kerajaan supaya datang menyalurkan maklumat kepada polis.

"Bongkar perkara sedemikian kerana itu mampu menyelamatkan negara daripada sebarang anasir yang mahu menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan yang telah lama wujud di Malaysia.

"Polis juga tidak akan bertoleransi dengan perkara sebegitu, kita akan siasat sedalam-dalamnya dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mahu menghuru-harakan negara," katanya.

Tunku Aziz dedah PR dah lama rancang guling kerajaan jika kalah PRU13



Pembangkang didakwa sudah lama merancang konspirasi menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan dengan nama Malaysia Spring sekiranya kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, seorang pemimpin tertinggi DAP pernah membayangkan demonstrasi melampau seperti Arab Spring itu bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau mendakwa, Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr. Chen Man Hin pernah menyatakan sokongan kepada Bersih 3.0 selain membayangkan demonstrasi itu sebagai permulaan kepada Malaysia Spring pada 26 April tahun lalu.

"Saya agak musykil, apakah yang dimaksudkan beliau dengan Malaysia Spring? Adakah beliau menyokong rusuhan dan keganasan seperti yang berlaku di negara-negara Arab? Adakah juga Bersih 3.0 hanyalah permulaan kejadian lebih buruk selepas ini?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kelab Sri Damansara, di sini hari ini. Yang turut hadir, bekas Ketua Cawangan DAP Taman Sri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat.

Menurut Tunku Abdul Aziz, demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram setakat ini dirancang pemimpin politik tertentu sejak beberapa tahun lalu sekiranya tidak mendapat mandat menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Disebabkan itu juga, katanya, beberapa pemimpin pembangkang ketika itu berterusan menggesa rakyat bersama-sama mereka menggulingkan kerajaan melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika ini sedang menjelajah seluruh negara dengan misi untuk terus membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan kononnya terdapat penipuan dalam pilihan raya umum lalu. Dia terus berbohong dengan mengaku dia ialah Perdana Menteri yang sah," katanya.

Tambah Tunku Abdul Aziz, apa yang menghairankan pemimpin pembangkang lain sudah memulakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing meskipun dalam masa sama menuduh pilihan raya umum lalu tidak telus.

Malah, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng adalah antara yang paling awal mengangkat sumpah sekali gus mengakui kemenangannya menerusi proses pilihan raya umum itu.

"Kalau mereka menang, mereka tidak bising malah akui keputusan itu telus tetapi yang kalah menyalahkan kerajaan dengan pelbagai tuduhan tidak logik termasuk 'mengimport' warga Bangladesh mengundi selain berbohong Presiden Amerika, Barack Obama akan campur tangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa polis mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang tindakan Anwar dan pemimpin pembangkang lain daripada terus mengadakan perhimpunan haram di seluruh negara.

Katanya, beliau bimbang tindakan bebas pemimpin pembangkang menghasut rakyat itu boleh mencetus kepada perhimpunan haram yang lebih besar dan ganas pada masa depan.

"Pembohongan yang menyentuh sentimen rakyat akan menjadi aset untuk mereka merancang sesuatu yang lebih besar dan buruk. Pihak polis perlu bertindak lebih tegas, jangan biarkan golongan seperti ini menghancurkan keamanan negara," katanya.-UMO

Tiada kenaikan harga barang kawalan , itu semua penipuan pembangkang - Menteri




KUALA LUMPUR 18 Mei - Tiada kenaikan harga barang kawalan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sebaliknya ia hanyalah khabar angin yang disebarkan oleh pihak pembangkang semata-mata mahu memburukkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Sehubungan dengan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek menggesa orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin tersebut dan pada masa sama akan bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga barang.

"Penyokong pembangkang menyebarkan benda yang tidak betul, tiada barangan kawalan yang naik harga, malah subsidi yang sedia ada terus kekal.

"Jangan sebarkan khabar angin, kita perlu mengutamakan kepentingan negara tetapi jika ada peniaga yang benar-benar sengaja naikkan harga, saya akan turun ke bawah untuk ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas
majlis perasmian Ekspo Beli Barangan Malaysia 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Ahli UMNO yang sabotaj parti dikenakan tindakan diketahui minggu depan




KUALA LUMPUR 18 Mei - Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata apa jua keputusan atau bentuk hukuman berhubung perbuatan mensabotaj parti oleh anggota UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dijangka diketahui minggu depan.

Katanya siasatan mengenai aduan itu masih dijalankan.

"Lembaga Disiplin menerima 11 aduan sabotaj dan kita telah arahkan pihak penyiasat membuat siasatan rapi supaya kita dapat membuat keputusan dengan adil dan tidak menganiaya mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas perbuatan sabotaj oleh anggota UMNO pada PRU-13.

Sebelum ini pada 18 April, Lembaga Disiplin UMNO memaklumkan telah menerima beberapa aduan sabotaj dalam kalangan anggota parti menjelang pilihan raya.

Megat Najmuddin berkata perbuatan sabotaj yang dilaporkan itu berlaku di peringkat bahagian di beberapa negeri termasuk Perak, Pahang, Kelantan dan Kedah, dengan kesalahan seperti berkempen untuk pembangkang, menghasut anggota UMNO lain dan enggan membuka bilik gerakan pilihan raya.

"Bagaimanapun ini tidak membabitkan kesalahan anggota bertanding sebagai calon bebas atau menjadi penyokong dan pencadang bagi calon selain UMNO. Mereka ini telah kita pecat," jelasnya.

Katanya, hukuman yang akan diputuskan bergantung kepada keseriusan perbuatan sabotaj yang dibuat.
Bagi PRU-13, UMNO telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dianggotai empat wakil Majlis Tertinggi UMNO dan empat wakil Lembaga Disiplin parti bagi mempercepatkan proses membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman kepada mereka yang didapati bersalah mensabotaj atau melanggar disiplin parti.

Pada 22 April, UMNO memecat 58 anggota serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130518/po_11/Nasib-ahli-UMNO-sabotaj-BN-diketahui-minggu-depan#ixzz2TeVNkuaN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Polis tolak pemohonan himpunan 505 di Padang Kota




Polis Pulau Pinang menolak permohonan pakatan pembangkang untuk mengadakan ceramah di Padang Kota Lama esok atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.


 Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Ming berkata, penganjur juga gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 yang mengkehendaki notis pemberitahuan dihantar 10 hari sebelum tarikh ceramah itu diadakan kepada Ketua Polis Daerah.


"Kita ada menerima permohonan permit daripada penganjur pada Rabu lalu kira-kira pukul 2.10 petang untuk mengadakan perhimpunan esok.

 "Jelas pihak penganjur tidak mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini. Kong Ming dalam pada itu menambah, penolakan permohonan itu juga dilakukan setelah mempertimbangkan beberapa faktor lain seperti keselamatan dan ketenteraman awam terutamanya kepada peniaga serta orang ramai di sekitar tempat ceramah itu.

"Padang Kota Lama tidak sesuai untuk diadakan ceramah memandangkan dari pengalaman lalu perhimpunan seperti itu mampu mendatangkan kesesakan lalu lintas dan menimbulkan kekecohan.


 "Malah perhimpunan sedemikian juga kemungkinan bakal menyebabkan berlakunya kerosakan harta awam, kecederaan dan paling membimbangkan adalah kehilangan nyawa," tegasnya. Bagaimanapun, Kong Ming berkata, polis telah mengambil langkah persediaan awal dan akan menempatkan anggota di kawasan-kawasan yang berisiko.


 "Sebagai langkah keselamatan, semua persimpangan menuju ke Padang Kota akan dikawal oleh anggota trafik dan mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas akan ditunda serta Jalan Tun Syed Barakhbah akan ditutup.

Khairy ada formula untuk pujuk kembali pengundi bandar sokong BN




 Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata sebilangan pengundi bandar yang memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh ditarik semula untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata usaha itu boleh dilakukan dengan menangani isu-isu yang dekat dengan hati mereka.
“Keputusan pilihan raya bukan satu bencana kepada kita (BN). Kita hanya perlu menangani beberapa isu seperti mengapa beberapa pengundi bandar tidak menyokong kita.
“Saya percaya mereka merajuk atau jatuh cinta sekejap kepada janji-janji populis.

“Kita boleh pujuk mereka balik selepas menangani beberapa isu seperti pengangkutan, rasuah dan jenayah di mana semua usaha itu sedang berjalan,” katanya pada forum bertajuk ‘Pasca PRU-13: Menerajui Negara Ke Hadapan’, di sini malam Khamis.
Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata persoalan siapa mendapat undi paling popular bukan penting kerana rakyat masih mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan BN dan enggan menjadi mangsa kepada janji-janji populis pembangkang.

PAS Selangor bakal senasib P.Pinang , gigi jari tak dapat layanan baik agih jawatan Exco




KUALA LUMPUR 17 Mei – Pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) memperlihatkan bagaimana perjalanan politik Pas bersama sekutunya tidak menerima pengiktirafan yang sebaik mungkin.
Walaupun pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pimpinan mereka berhubung kerjasama di dalam pakatan pembangkang, namun jika diamati dan jika diperhalusi, peranan Pas seolah-olah hanya berguna ketika kempen pilihan raya semata-mata dan tidak lebih sekadar itu.
Mengulas mengenainya bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin berkata perkara tersebut boleh dilihat di negeri yang diperintah oleh sekutu Pas seperti di Pulau Pinang dan Selangor.
“Pulau Pinang sepertimana sebelum ini yang mana wakil rakyat Pas tidak dilantik sebagai Exco agama….Nampaknya Pas sekali lagi gigit jari untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
“Di Selangor pula…..umumnya  ternanti-nanti apakah peranan Pas diiktiraf sebaik mungkin. Apakah dengan kelebihan kerusi yang dimenangi di peringkat DUN berbanding PKR, parti itu akan mendapat layanan yang sebaik mungkin dari segi pengagihan kerusi Exco,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Kata beliau lagi pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Pas selepas PRU-13 hanyalah sekadar penyedap hati dalam usaha menutup kegelisahan mereka berhubung perkara berkenaan.
“Namun mungkin pimpinan mereka tidak menyedari bahawa situasi tersebut sedikit sebanyak mengguris hati penyokong mereka manakala rakyat pula akan melihat Pas sekadar tumpang semangkuk atas pemerintahan sekutu mereka itu.
“Tunggulah dan lihatlah selepas ini…..Prinsip perjuangan yang longlai akan menyebabkan Pas terus dirundung  malang. sama-samalah kita nantikan episod seterusnya,” ujar beliau. -MediaUMNO

Anwar terkena sindrom Blame Assignment Syndrome selepas kalah PRU13


Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hj Ruslan Kassim berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilanda  Blame Assignment Syndrome iaitu sikap yang tidak dapat menerima kekalahan dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain di atas kekalahan Pakatan Pembangkang yang diterajuinya.
Menurut Ruslan, sikap Anwar yang secara terus-terusan cuba untuk menghasut rakyat dengan provokasi dan fitnah-fitnah yang tidak benar dengan menyalahkan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihanraya membuktikan bahawa beliau kini dijangkiti oleh sindrom tersebut.
“Hari ini kita dapat lihat dengan jelas tindak tanduk Anwar yang menghasut rakyat di seluruh negara kerana tidak dapat menerima kekalahan pembangkang setelah rakyat memutuskan untuk terus memilih BN sebagai peneraju negara.
“Sikapnya yang tidak dapat menerima kekalahan dan cuba meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain cukup  jelas bahawa beliau telah dijangkiti oleh sindrom tersebut,” ujarnya sinis kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tindakan Anwar yang cuba menghasut rakyat serta menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah kemenangan BN dengan memfitnah SPR tidak telus dan sebagainya, ternyata melanggar prinsip demokrasi yang diperjuangkan Anwar selama ini.
“Beliau kata beliau seorang pejuang demokrasi, tetapi hari ini Anwar sendiri yang melanggar prinsip demokrasi dengan cuba mencetuskan gelombang bantahan rakyat secara besar-besaran untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
“Ini juga secara jelas memperlihatkan Anwar memperlekehkan serta menghina keputusan majoriti besar rakyat di negara ini yang membuat keputusan untuk memilih BN dan menolak politik kotor yang berasaskan fitnah dan pecah belah yang dibawa oleh pakatan pembangkang,” tegasnya.
Justeru itu, beliau meminta pihak berkuasa agar bertindak tegas terhadap Ketua Pembangkang yang kini dilihat cuba untuk mencetuskan huru hara di dalam negara dengan menabur fitnah serta provokasi kepada rakyat untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap BN sebagai sebuah kerajaan yang dipilih rakyat secara sah dalam PRU baru-baru ini.
“Jika pihak berkuasa membiarkan Anwar secara berterusan menghasut dan menyebarkan provokasi fitnah kepada rakyat, maka kita bimbangi ia boleh mencetuskan keadaan yang lebih serius yang boleh mengganggu gugat keamanan negara.
“Anwar kini boleh dilihat sebagai satu ancaman kepada keselamatan dan keharmonian negara dan pihak berwajib mestilah mengambil tindakan tegas bagi membendung sebarang kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak diingini pada masa yang akan datang,” ujarnya. -MediaUMNO

Khairy tekad tranformasikan pembangunan sukan negara




“SAYA bertekad mentransformasikan pembangunan serta agenda sukan negara seiring dengan kepesatan pembangunan negara.”
Demikian wawasan Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baharu, Khairy Jamaluddin.
Menurutnya, dia akan menggalas tugas tersebut sebaik mungkin bagi memastikan sukan negara terus menikmati pembangunan serta kejayaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelantikan Khairy sebagai Menteri Belia dan Sukan pada majlis pengumuman senarai Kabinet yang baharu.
Jawatan tersebut sebelum ini dipegang Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berpindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Pelantikan ini merupakan satu penghargaan buat seluruh pemuda serta belia di negara ini, dan saya berjanji akan menunaikan tanggungjawab yang diberikan ini sebaik mungkin.
“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib atas kepercayaan yang diberikan dan saya menganggap amanah yang diberikan ini adalah mewakili suara seluruh anak muda di negara ini yang sentiasa menyokong kerajaan dalam membangunkan negara.
“Selain itu, ia juga satu amanah sangat besar buat diri saya dalam memastikan pembangunan belia dan sukan di negara ini berterusan serta mampu menggegar arena sukan dunia,” kata Khairy ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kata Khairy lagi, matlamat utamanya sudah semestinya mengharapkan prestasi sukan negara secara keseluruhan akan terus meningkat pada tahun ini dan nasib atlet-atlet negara juga akan menjadi keutamaannya nanti.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan senarai menteri Kabinet baharu yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda yang diyakini mampu meneruskan agenda transformasi nasional.
Dalam pada itu, Datuk M. Saravanan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Untuk rekod, Khairy merupakan pencetus idea serta ‘orang kuat’ sehingga tertubuhnya pasukan kelab bola sepak UPB-MyTeam FC pada tahun 2006.
MyTeam ditubuhkan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat terpendam dalam sukan bola sepak di seluruh negara, dan hasil jelajah ke 13 buah negeri itu mereka berjaya mengumpulkan 22 pemain berbakat untuk diserap dalam skuad MyTeam.

TPM dan barisan Kabinet baru angkat sumpah jawatan





KUALA LUMPUR 16 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendahului barisan menteri dan timbalan menteri yang dilantik semalam, mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini.

Upacara penuh istiadat itu disaksikan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Turut hadir menyaksikan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Upacara yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara itu bermula pukul 10.10 pagi sejurus keberangkatan masuk Seri Paduka Baginda berdua.


Upacara bermula dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi 1.

Beliau kemudian melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Acara penyerahan surat cara pelantikan serta melafaz sumpah jawatan dan taat setia bagi menteri dan timbalan menteri dijalankan secara berkumpulan seramai enam orang.
Seramai 24 timbalan menteri turut mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini. - BERNAMA

Hishamuddin Rais merbahaya , hasut rakyat merusuh di jalanan



KUALA LUMPUR 15 Mei - Perbuatan aktivis jalanan propembangkang, Hishamuddin Rais menghasut rakyat untuk mengadakan rusuhan jalanan Sabtu ini tidak boleh dibiarkan kerana tindakan itu jelas mencabar keluhuran Perlembagaan serta mengancam keselamatan rakyat dan negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah yang cuba diambil oleh Hishamuddin itu sememangnya amat berbahaya dan pihak polis wajar bertindak segera.

Hakikatnya beliau berkata, undang-undang negara telah dipermain-mainkan dan dimomok sesuka hati sehingga ke peringkat mencabar Yang di-Pertuan Agong.

"Saya amat kenal Hishamuddin ini. Dia pernah lari ke luar negara semasa kebangkitan pelajar pada tahun 1970 atas isu kemiskinan rakyat Baling, Kedah.

"Bertahun lari ke luar negara dan memburukkan nama baik Malaysia di negara yang memberikan suaka politik kepadanya. Dia ini jenis baling batu sembunyi tangan. Kembali ke tanah air dengan selesa tanpa diambil apa-apa tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Akhbar hari ini menyiarkan berita tentang niat pembangkang untuk mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei lalu dengan bercadang melakukan demonstrasi jalanan Sabtu ini.

Malah, mereka secara terbuka mengakui satu-satunya cara menggulingkan kerajaan BN yang diterajui UMNO ialah melalui rusuhan jalanan kerana mustahil pakatan pembangkang dapat merampas Putrajaya melalui peti undi.

Hishamuddin ketika menghasut orang ramai berbuat demikian berkata, pembangkang menolak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan adalah satu kebodohan jika penyokong pembangkang berdiam diri tanpa turun ke jalan raya bagi menggulingkan BN.

Ibrahim berkata, Hishamuddin kembali ke tanah air semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Sebenarnya tindakan Hishamuddin menghasut rakyat dengan cara mencabar undang-undang akan memberikan kesan negatif yang mana rakyat tidak akan menghormati undang-undang," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, Ketua Polis Negara dan Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam di peringkat ini wajar bertindak tegas dengan segera.
"Cegah sebelum keadaan lebih buruk dan tidak terkawal. Jangan disebabkan nila setitik, rosak seluruh negara.
"Jenis manusia tidak tahu bersyukur dan tidak hormat undang-undang negara wajar diajar secukupnya," katanya.


Senarai penuh barisan Kabinet baru 2013 kerajaan Persekutuan






Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah  mengumumkan barisan Kabinet barunya dalam sidang media di Dewan Persidangan, Pejabat Perdana Menteri hari ini .  Kabinet kali ini menurut PM adalah kabinet berimbang . 




 Barisan Kabinet Baru Pentadbiran Malaysia 2013

PERDANA MENTERI - Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak
TIMBALAN PERDANA MENTERI- Tan Sri Muhyiddin Yaasin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri :
MENTERI:
(1) YB DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN BAHAROM (UMNO)
(2) YB DATO’ SRI ABDUL WAHID BIN OMAR (SENATOR -BERKUATKUASA 5 JUN 2013) 
(3) YB SENATOR DATO’ SRI IDRIS JALA (SENATOR)
(4) YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH KURUP (PBRS)
(5) YB DATO’ SERI SHAHIDAN BIN KASSIM (UMNO)
(6) YB PUAN HAJAH NANCY BINTI SHUKRI (PBB)
 (7) YB DATUK JOSEPH ENTULU ANAK BELAUN (PRS)
(8) DATUK PAUL LOW SENG KWAN (SENATOR)

 TIMBALAN MENTERI:
(1) YB DATUK RAZALI BIN IBRAHIM (UMNO)
(3) WAYTHA MOORTHY PONNUSAMY (SENATOR)

 MENTERI KEWANGAN:
(1) MENTERI KEWANGAN I: YAB DATO’ SRI HAJI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK (UMNO)
(2) MENTERI KEWANGAN II: YB DATO’ SERI HAJI AHMAD HUSNI BIN MOHAMAD HANADZLAH (UMNO)  

TIMBALAN MENTERI:
(3) YB DATUK AHMAD BIN MASLAN (UMNO)

 MENTERI PELAJARAN DAN PENGAJIAN TINGGI:
(1) MENTERI I: YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN YASSIN (UMNO)
(2) MENTERI II: YB DATO’ SERI IDRIS BIN JUSOH (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(3) TIMBALAN MENTERI I: YB DATUK MARY YAP KAIN CHING (PBS)
(4) TIMBALAN MENTERI II: YB TUAN P. KAMALANATHAN A/L P.PANCHANATHAN (MIC)  

MENTERI PERTAHANAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI HISHAMUDDIN BIN TUN HUSSEIN (UMNO)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ ABDUL RAHIM BAKRI (UMNO)

MENTERI PENGANGKUTAN: (1) MENTERI : YB DATO’ SERI HISHAMUDDIN BIN TUN HUSSEIN (UMNO) (MEMANGKU)
TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB. DATUK AB. AZIZ KAPRAWI (UMNO)

MENTERI DALAM NEGERI:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID BIN HAMIDI (UMNO)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATUK DR. WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR (PBB)  

MENTERI KERJA RAYA:
(1) MENTERI : YB DATO’ FADILLLAH YUSOF (PBB)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATUK ROSNAH BINTI ABDUL RASHID SHIRLIN (UMNO)  

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI MUSTAPA BIN MOHAMED (UMNO)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB. HAMIM BIN SAMURI (UMNO)

MENTERI LUAR NEGERI:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI ANIFAH BIN HAJI AMAN (UMNO)  

TIMBALAN MENTERI:
 (2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ HAMZAH BIN ZAINUDDIN (UMNO)

 MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ HASAN BIN MALEK (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ PADUKA AHMAD BASHAH BIN MD. HANIPAH (SENATOR) (UMNO)

MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI AHMAD SHABERY BIN CHEEK (UMNO)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ JAILANI BIN JOHARI (UMNO)

MENTERI SUMBER MANUSIA:
(1) MENTERI : YB DATUK RICHARD RIOT ANAK JAEM (SUPP)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ ISMAIL BIN ABD. MUTTALIB (UMNO)

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI SHAFIE BIN HAJI APDAL (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATUK ALEXANDER NANTA LINGGI (PBB)

MENTERI KESEJAHTERAAN BANDAR, PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ HAJI ABDUL RAHMAN BIN DAHLAN (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ HALIMAH BINTI MOHD SADDIQUE (UMNO)

MENTERI BELIA DAN SUKAN:
(1) MENTERI : YB TUAN KHAIRY JAMALUDDIN BIN ABU BAKAR (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ SARAVANAN A/L MURUGAN (MIC)

MENTERI KESIHATAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI SUBRAMANIAM (MIC)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ SERI HILMI BIN YAHAYA (UMNO)

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ DR. LOGA BALA MOHAN A/L JAGANATHAN (SENATOR)

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI DOUGLAS UGGAH EMBAS (PBB)

 TIMBALAN MENTERI:
 (2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ NORIAH BINTI KASNON (UMNO)

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:
(1) MENTERI : YB DATUK DR. MAXIMUS JOHNITY ONGKILI (PBS)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ SRI MAHDZIR BIN KHALID (UMNO)

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:
(1) MENTERI : YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB (UMNO)

TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ TAJUDDIN BIN ABDUL RAHMAN (UMNO)

MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN:
(1) MENTERI : YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ (UMNO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ JOSEPH SALANG ANAK GANDUM (PRS)

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI:
(1) MENTERI : YB DATUK DR. EWON EBIN (UPKO)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ DR. ABU BAKAR BIN MOHAMAD DIAH (UMNO)

 MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:
(1) MENTERI : YB DATUK SERI G. PALANIVEL (MIC)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATO’ DR. JAMES DAWOS MAMIT (PBB)

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:
(1) MENTERI : YB DATUK ROHANI BINTI ABDUL KARIM (PBB)

 TIMBALAN MENTERI:
(2) TIMBALAN MENTERI : YB DATUK AZIZAH BINTI MOHD. DUN (UMNO)
 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger