Headlines News :
Powered by Blogger.

Followers

BERITA BLOG

KERAJAAN DAP BATALKAN FORUM PERDANA KERANA DIHADIRI KAZIM ELIAS ?



BUKIT MERTAJAM 29 Jun - Pendakwah bebas, Muhammad Kazim Elias Al-Hafiz atau dikenali sebagai Ustaz Kazim kesal apabila kerajaan negeri Pulau Pinang mengarahkan program Forum Perdana yang dijadual diadakan di negeri itu pada 5 Julai ini dibatalkan.

Beliau mendakwa arahan itu dikeluarkan oleh Exco agama atas alasan tidak suka kepada beliau yang dikatakan boleh menggugat kerajaan negeri.

“Sebagai Exco agama dia sepatutnya tolong saya, bantu serta bagi ruang dan bukan sekat saya berdakwah.
“Sebagai pendakwah saya sedih kerana ahli jemaah yang menjadi mangsa kepada politik sedangkan saya bukan ahli politik. Orang politik sepatutnya berbaik dengan pendakwah supaya mereka mendapat faedah, tetapi yang berlaku sebaliknya kerana yang rugi bukan saya tetapi masyarakat. Biarlah masyarakat yang menilai dan menghukum pemimpin seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Pengajian Darul Wehdah, Permatang Pauh di Simpang Tiga Kubang Ulu di Penanti dekat sini.

Muhammad Kazim yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi, Ipoh berkata, walaupun bukan semua ahli politik bersikap begitu, tetapi masih ada ahli politik kurang mahir berpolitik dan menjadikan pendakwah bebas sebagai musuh mereka.

“Sepatutnya pendakwah bebas seperti saya dibantu kerana mereka mempunyai pengikut. Membatalkan ceramah dengan arahan lisan menjejaskan dakwah dan menjadikan orang ramai kecewa dengan orang politik.

“Salah satu sebab saya mengambil keputusan berhenti berceramah kerana sudah bertahun-tahun menghadapi tekanan politik. Saya berdakwah orang politik yang ganggu, mereka buang dan bakar bunting, membakar mercun dan mengarahkan batal kuliah," katanya.
Menurutnya, bukan beliau seorang sahaja yang menghadapi tekanan politik, tetapi ramai lagi pendakwah menghadapi situasi itu membuatkan beliau mengambil keputusan berhenti ceramah pada November tahun ini.

“Arahan ahli politik supaya dibatalkan majlis pada saat-saat akhir juga menimbulkan masalah kepada jawatankuasa surau dan masjid. Penganjur juga diberikan tekanan politik supaya dibatalkan.
“Walaupun saya berhenti ceramah, tetapi saya masih meneruskan dakwah di media massa dan elektronik, menulis buku dan majalah," ujarnya.

Tambah beliau, bidang pendakwahan sangat luas dan bukannya berceramah dalam Forum Perdana sahaja.

Menurut Muhammad Kazim, tidak seperti Pulau Pinang, beberapa negeri lain mengamalkan sikap terbuka kepada pendakwah sepertinya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli politik supaya bersikap profesional dan jangan anti kepada pendakwah bebas dan program ceramah agama.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim ketika dihubungi menafikan beliau mengarahkan Forum Perdana itu dibatalkan.
Abdul Malik berkata, selaku Exco yang bertanggungjawab terhadap agama Islam di negeri itu, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan berkenaan.

“Pulau Pinang bersikap terbuka dan tidak menghalang majlis ceramah serta percambahan ilmu yang mahu diadakan di negeri itu. Kita juga tidak meletakkan syarat bahawa penceramah yang mahu dijemput itu mesti mempunyai tauliah agama seperti yang disyaratkan di negeri-negeri lain," katanya.
Menurutnya, kemungkinan perkara itu berlaku disebabkan salah faham.

“Seingat saya pada tahun lepas, dalam satu program ceramah anjuran kerajaan negeri, kita ada menjemput Ustaz Kazim hadir," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130630/dn_08/Forum-Perdana-batal-dikesali#ixzz2XgkPYVkC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

EXCO KERAJAAN NEGERI CUBA SEKAT PROGRAM CERAMAH AGAMA - USTAZ KAZIM




BUKIT MERTAJAM – Penceramah bebas, Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mendedahkan ada pemimpin politik di beberapa negeri cuba menyekat program ceramahnya dengan mengeluarkan arahan supaya ia dibatalkan.
Lebih menyedihkan dakwanya, arahan tersebut datang daripada pemimpin politik beragama Islam dengan alasan, ia boleh menggugat kedudukan kerajaan negeri.
Dalam kes terbaharu dakwanya lagi, program ceramah perdana yang dijadualkan berlangsung di satu lokasi di sini pada 5 Julai ini telah diarahkan supaya dibatalkan atas arahan seorang Exco kerajaan negeri.
“Saya hairan, program ini telah dirancang sejak tiga bulan lalu. Secara tiba-tiba penganjur beritahu, mereka diarahkan supaya dibatalkan pada saat-saat akhir kerana saya merupakan salah seorang penceramah pada program tersebut.
“Apa yang menyedihkan, arahan tersebut pula datang dari seorang Exco beragama Islam, sepatutnya dia menyokong dan memberi galakan supaya program keagamaan seperti itu diperbanyakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Pengajian Darul Wehdah di Kampung Kubang Ulu, di sini semalam.


2000 PENDUDUK RAYU JKP BAIKI SEGERA PAM MOTOR RUMAH PANGSA @dzainalabidin




BUTTERWORTH 28 Jun - Lebih 2,000 penduduk di Rumah Pangsa Sri Bagan, Bagan Dalam di sini mengalami kesulitan kerana kerosakan dua motor yang menggerakkan pam air di rumah pangsa di sini sejak dua minggu lalu.

Ini menyebabkan bekalan air terputus sehingga menyukarkan kehidupan seharian mereka.
Dakwa penduduk, biarpun masalah itu telah dimaklumkan kepada syarikat penyelenggara yang dikawal selia oleh Jawatankuasa Pemandu Sendirian Berhad (JKPSB) beberapa kali sebelum ini, namun masalah itu masih belum diselesaikan.
Tidak tahan dengan sikap JKPSB yang dilihat tidak prihatin dengan masalah mereka, sebanyak 200 penduduk rumah pangsa berkenaan membuat bantahan aman di pekarangan kediaman mereka hari ini.
Bantahan itu bagi meminta pihak pengurusan JKPSB segera membaiki motor yang rosak supaya bekalan air dapat dibekalkan kepada penduduk di situ.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk perumahan berkenaan, Rosli Hassan, 54, berkata, sepatutnya JKPSB memantau syarikat yang dilantik menyelenggara air di perumahan berkenaan termasuk segera menukar pam yang rosak.

"Sebelum ini dua pam digunakan untuk mengepam air ke tangki di tingkat 13 sebelum disalurkan ke 464 buah rumah penduduk yang terdapat di sini.
"Setelah pam itu rosak, kesemua penduduk mengalami masalah bekalan air hingga menjejaskan keperluan seharian mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahli Jawatankuasa persatuan itu, Shukur Che Ad, 52, berkata, masalah gangguan air telah lama berlarutan di perumahan ini termasuk dua kali berlaku dalam bulan ini sahaja.

"Penduduk terpaksa mengangkut air dari Masjid Jamek Bagan Dalam yang terletak di blok bawah, selain berebut menadah air dari paip salah sebuah rumah yang tidak berpenghuni di tingkat satu blok A yang masih mempunyai bekalan air untuk kegunaan seharian.

"Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segera bagi mengelak lebih banyak tekanan dialami oleh penduduk terutamanya yang mempunyai anak ramai dan tinggal di tingkat atas flat itu," katanya.
Suri rumah, Bibi Yahaya, 45, berkata, ketiadaan air telah menyebabkan keluarganya mengalami masalah kerana air merupakan keperluan harian.

"Sebagai suri rumah kami terpaksa menggunakan air yang banyak untuk persediaan memasak dan membasuh serta kegunaan lain untuk mandi-manda.

"Jika masalah ini berlarutan tentunya ia amat memenatkan kerana terpaksa mengangkut air dari bawah," katanya yang tinggal di tingkat lapan flat berkenaan.

Penduduk, Rafeah Salim, 53, berkata, sepatutnya pihak penyelenggara yang diberi tanggungjawab menjaga bangunan ini prihatin dengan keadaan penduduk yang telah lama terputus bekalan air.

"Jika tahu motor rosak baiki segera atau tukar yang baharu kerana kami difahamkan peruntukan telah disediakan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan 1Malaysia seperti mana yang diumumkan sempena lawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ke sini akhir tahun lalu.
"Jika mereka prihatin sudah tentu perkara ini tidak akan berlarutan dan penduduk tidak mengalami masalah terputus bekalan air seperti mana dialami sejak dua minggu lalu ini," katanya.


BN PERLU BEKERJA KERAS HADAPI PRU14 DARI SEKARANG - MUHYIDDIN




KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin. Walaupun ia akan berlangsung 5 tahun lagi, namun usaha itu perlu supaya cabaran dan tentangan dari pihak lawan dapat dipatahkan. "Saya kira tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang.

Untuk menentukan pencapaian dan kejayaan yang besar, kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan esok.

 "Selepas satu tempoh waktu rehat sudah habis, maka tugas dan tanggungjawab kita sudah tersedia di hadapan. Sanggupkah kita pikul tanggungjawab itu?" soal beliau kepada hadirin yang hadir di Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera Barisan Nasional Wilayah Persekutuan di Taman Kejiranan Air Panas Setapak, Setiawangsa.

 "Pada PRU13 lalu, pihak pembangkang telah beri cabaran besar kepada kita lebih-lebih lagi dalam menarik sokongan pengundi di Wilayah Persekutuan. Tambahnya lagi, meskipun prestasi BN tidak begitu memuaskan pada pilihan raya lepas, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat kepada ahli-ahlinya untuk bangun meneruskan perjuangan parti.

 "Walaupun ada kawasan-kawasan yang kita kalah, tapi kita telah menunjukkan kesungguhan kita dan menghadapi cabaran dengan gigih dan berani dan menunjukkan BN tidak pernah menyerah kalah hanya kerana pilihan raya ini kita tidak mengecapi kejayaan," jelasnya lanjut.

 Hadir sama di majlis berkenaan adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan beberapa lagi pemimpin Barisan Nasional yang lain.

 Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Wilayah Persekutuan yang memberi sokongan kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal bulan lalu. BN selain itu katanya perlu menilai segala faktor kejayaan dan kekalahan mereka di kawasan pilihan raya lalu bagi mengembalikan sokongan rakyat di masa hadapan.

 Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin BN tidak leka dan angkuh dengan jawatan yang dimiliki, malah perlu bekerja keras untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.

 "Ini bukan soal kita, ini bukan soal BN, tapi ini soal rakyat jelata. Rakyat hari ini bijaksana, mereka tahu apakah tugas dan peranan kita, mereka nak sesuatu yang lebih baik supaya Malaysia menjadi lebih maju dan makmur, demokrasi matang dan sistem kerajaan adil dan saksama. Ini tuntutan mereka.

 "Apa mereka nak lihat adakah BN bersungguh-sungguh nak laksanakan tanggungjawab dan memenuhi segala akujanji dalam manifesto yang lepas," ujar belia

KERAJAAN DAP HALANG WARTAWAN BUAT LIPUTAN SIDANG DUN




GEORGE TOWN: Wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan berita majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9.30 pagi apabila wartawan berkenaan Mohd Firdaus Ismail memohon pas lawatan untuk masuk ke perkarangan DUN.

Firdaus berkata pengawal keselamatan enggan memberikan pas lawatan masuk ke DUN dan memberitahunya ia adalah atas arahan pihak atasan.

"Pengawal DUN tersebut telah memberitahu saya bahawa wartawan Utusan tidak dibenarkan masuk ke DUN untuk membuat liputan,"  katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat protes secara berseorangan dengan memegang kad bertulis "Ketelusan telah mati di sini" dan berlegar-legar di hadapan pintu pagar bangunan DUN.

Katanya, beliau berbuat demikian sebagai meluahkan kekecewaan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini sering melaung-laungkan kebebasan akhbar.

Firdaus berkata sebelum ini, wartawan Utusan juga pernah dilarang membuat liputan persidangan DUN selepas satu usul larangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui.

"Tetapi, kini telah masuk penggal baharu untuk persidangan DUN, mereka seharusnya membentangkan usul baharu dan usul yang lama  telah tamat tempoh," katanya.

NAIB KETUA UMNO BAHAGIAN PERMATANG PAUH MENINGGAL DUNIA

Penghormatan Terakhir.. YBhg Dato' Zainal Abidin Osman, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang bersama sama masyarakat mengiringi jenazah Arwah Tuan Haji Abd Rahim bin Haji Man, Naib Ketua UMNO Bhg Permatan Pauh yang meninggal malam semalam. 



BUKIT MERTAJAM: Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Abdul Rahim Man meninggal dunia di rumahnya di Kampung Junjung Tasek, Simpang Ampat, dekat sini akibat jangkitan kuman di hati.

 Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said berkata, Abdul Rahim, 61, meninggal dunia di Hospital KPJ di Bandar Perda di sini pada kira-kira pukul 7.10 malam Rabu.

 "Allahyarham telah dimasukkan ke wad di Hospital KPJ tiga hari lalu selepas mengalami jangkitan kuman di hati dan demam panas dan beliau tidak sedarkan diri sejak semalam.

 "Saya dimaklumkan oleh anggota keluarganya yang Allahyarham dibawa pulang ke rumah petang tadi selepas doktor memaklumkan keadaannya yang kritikal," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Rabu.

 Katanya jenazah Abdul Rahim akan dikebumikan di Tanah Perkuburan IslamKampung Junjung pagi Khamis.

 Pada pilihan raya umum ke-13 lepas, Abdul Rahim dilantik sebagai Penyelaras Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir. Allahyarham meninggalkan seorang isteri Norhazlina Abdullah dan lima orang anak. - BERNAMA

ADUN BN PULAU BETONG AGIH PENUTUP HIDUNG PERCUMA KEPADA PELAJAR SEKOLAH





BALIK PULAU 26 Jun - Kesibukan tugas bukan penghalang buat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendekati masyarakat setempat kerana beliau mempunyai pelbagai cara tersendiri untuk berhubung dengan mereka.

Antaranya menerusi laman sosial seperti Facebook yang membolehkan penduduk mengadu atau mengemukakan apa juga cadangan secara terus dengannya.

Sejak jerebu melanda negara, beliau mendapat banyak permintaan menerusi Facebook daripada penduduk Pulau Betong untuk mendapatkan penutup hidung dan mulut.

Terpanggil dengan keluhan penduduk, hari ini beliau menyumbangkan sebanyak 8,000 penutup hidung dan mulut untuk diagih-agihkan kepada murid dan pelajar sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Betong.

Muhammad Farid berkata, penggunaan penutup hidung dan mulut mampu menghindarkan golongan pelajar daripada terdedah kepada persekitaran tidak sihat yang disebabkan oleh jerebu.

"Kita sayangkan anak-anak ini (pelajar). Walaupun sumbangan saya tidak seberapa namun sekurang-kurangnya penutup hidung dan mulut ini dapat menghalang debu dan habuk asap daripada memasuki sistem pernafasan mereka.

"Saya juga meminta guru-guru supaya mengambil kesempatan ini dengan menanam sifat cintakan alam sekitar agar pencemaran sebegini menjadi satu iktibar buat kita semua," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis pengagihan penutup hidung dan mulut kepada 17 sekolah dalam DUN Pulau Betong yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Titi Teras di sini hari ini.

Muhammad Farid turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar semasa jerebu.
"Jika terpaksa berada di luar rumah, pastikan memakai penutup hidung dan mulut yang sesuai, minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari," 

YDP AGONG MELAWAT AZIZAN RAZAK DI HOSPITAL PULAU PINANG




GEORGE TOWN: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah hari ini mencemar duli menziarahi bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di Unit Rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Baginda diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Farizan Darus dan Exco Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin.

Tuanku Abdul Halim tiba di HPP pada 4.20 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit menziarahi Azizan dalam wad ICU itu.

Sementara itu, Afif berkata Azizan dalam keadaan stabil dan sedang diberi rawatan terbaik.

"Kesihatan Azizan telah beransur baik dengan rawatan namun beliau tidak dibenarkan 'discharge' (keluar) dalam tempoh yang terdekat," katanya.

Azizan, 73, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis pada awal Mei lepas.

Beliau dipindahkan ke HPP pada 8 Mei dari Kedah Medical Centre selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya dua hari sebelum itu.

Azizan yang juga, Pesuruhjaya PAS Kedah terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berikutan kekalahan pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN)dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.

BN memperoleh 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mendapat majoriti mudah bagi membolehkan parti itu menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Antara pemimpin yang telah melawat Azizan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Kedah yang baharu Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Mohamad Salleh Man, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak

BN MESTI MENANG DI PRK KUALA BESUT - AHMAD MASLAN



Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk mengelakkan keadaan DUN tergantung di Terengganu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertarungan sengit dijangka mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu memandangkan kerusi DUN tersebut terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.

"Pemimpin pembangkang termasuk dari Kelantan dijangka turun untuk berkempen, saya turut mendengar khabar bahawa pembangkang akan meletakkan calon yang terkenal.

"Saya berterima kasih atas pengiktirafan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kekuatan kita di Kuala Besut, tetapi ia mungkin merupakan strategi mereka dan kita tidak akan ambil mudah pertarungan di kerusi ini,'' katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 188 pegawai Jabatan Akauntan Negara di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

NGO Melayu bidas Guan Eng menghina titah YDP Agong di Parlimen




- Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan tidak mempertikai dan memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah semasa majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat semalam.

Peringatan itu disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini yang melihat Ahli Parlimen Bagan itu seolah-olah tidak menghormati institusi raja selain Perlembagaan negara.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak), Wan Khairul Ihsan Muhammad berkata, Guan Eng tidak sepatutnya mempolitikkan titah Seri Paduka dengan menyifatkannya sebagai skrip yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pemimpin DAP itu sepatutnya memandang serius titah ucapan Seri Paduka dalam usaha memperkasakan tanggungjawab setelah mendapat mandat daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

"Tetapi kalau dari awal lagi Guan Eng sudah menunjukkan sandiwara politik sempitnya dan mahu menjadikannya sebagai isu, sampai bilapun politik pembangkang tidak selesai dan rakyat tidak akan mendapat apa-apa manfaat yang diperjuangkan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng yang mendakwa titah Seri Paduka dalam majlis berkenaan sebenarnya telah disediakan kerajaan BN, tidak melibatkan kepentingan rakyat malah terdapat banyak kepincangan kerajaan yang cuba disorokkan.

Dalam pada itu, Wan Khairul Ihsan berkata, pemimpin pembangkang termasuk Guan Eng sepatutnya memberi tumpuan penuh pada usaha pembangunan rakyat dan negara, bukannya 'mencuri' kesempatan untuk terus memenuhi kepentingan politik satu pihak.

Sementara itu, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohd. Zaidan Abdul Rahim berkata, selaku ketua negara, Yang di-Pertuan Agong sememangnya sedia maklum landskap politik semasa, maka titah Seri Paduka itu bukan satu omong kosong yang boleh dipandang remeh.

Katanya, titah Seri Paduka tersebut perlu dijadikan landasan oleh semua pemimpin bagi memastikan setiap amanah rakyat akan dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

"Rakyat tidak akan dapat mengecap sebarang perubahan atau kemajuan yang sepatutnya selagi pemimpin yang dipilih mereka terus meletakkan politik di hadapan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130627/po_02/Guan-Eng-jangan-perlekeh-titah-Agong#ixzz2XNpSdsXq
© Utusan Melayu (M) Bhd

ANWAR SAH SETUJU SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG DI PARLIMEN



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi Penggal Pertama Parlimen Ke-13.
 
Pandikar Amin berkata pelantikan Anwar dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3).
 
"Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
 
Anwar pertama kali dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada penggal Parlimen ke-12 selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2008.
 
Sebelum ini Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) menyatakan bahawa pembangkang bersetuju mengekalkan Anwar mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen.
 
Persoalan mengenai jawatan Ketua Pembangkang muncul ekoran komposisi kerusi yang dimenangi pembangkang menunjukkan DAP di depan dengan 38 kerusi, PKR (30) dan Pas (21) kerusi

ADUN BN KUALA BESUT MENINGGAL DUNIA




YB. DR. A RAHMAN BIN MOKHTAR, Ahi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu telah meninggal dunia pada jam 10.18 pagi tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Allahyarham yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut mengalahkan calon Pas dalam pilihan raya lalu.

Menurut Penasihat Agama Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Mohd Zin, jenazah allahyarham akan dikebumikan hari ini selepas asar.

Dilahirkan pada 28 Mac 1958 di Kg. Pulau Perhentian, allahyarham mendapat ijazah kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau kemudiannya mendapat ijazah lanjutan Master of Public Helath dari Manila.

YB Dr. Haji A. Rahman selalu mengimbau zaman kanak-kanak yang sederhana tetapi tetap bermakna sebagai seorang anak nelayan di Pulau Perhentian. Kini beliau sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Antara kenangan yang tidak boleh dilupakan semasa menjadi seorang siswazah, YB Dr. Haji A. Rahman pernah bertanding dan menang dalam pilihanraya kampus perubatan UKM (PERSIAP), lalu menyandang jawatan setiausaha sukan dan kebajikan PERSIAP.

YB Dr. Haji A. Rahman merupakan sahabat karib dengan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Karim Mansor. Bila bertemu, dua sahabat rapat ini akan makan-makan sambil bersembang perihal politik dan kehidupan. Di masa lapang, YB Dr. Haji A. Rahman juga gemar bersukan dan memukul bola golf.

Al-fatihah buat allahyarham. Semoga Allah mencucuri rahmat dan Rahim-Nya ke atas Allahyarham. Jasa mu dalam kenangan.

Uptown PERDA diarahkan tutup , peniaga Melayu dinafikan hak oleh kerajaan DAP



Lebih kurang 200 peniaga MELAYU Uptown Bandar Perda,Bukit Mertajam Penang berhimpun membantah cadangan merobohkan gerai mereka oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Masing-masing telah menerima notis dari pihak majlis untuk merobohkan premis mereka. 

Sebelum ini semasa BN memerintah, mereka berniaga dengan aman damai tanpa sebarang gangguan dari pihak berkuasa.Apalah nasib peniaga melayu ini. Hanya memasang khemah yang bukannya struktur kekal, habis hendak dirobohkan oleh penguatkuasa MPSP berbangsa melayu yang hanya menurut arahan dari pihak atasan.

Adun Seberang Jaya MAMPU ke tolong peniaga Melayu? - APT- 

Kes Menara UMNO : Kerajaan DAP ambil tindakan terhadap juruteknik MPPP



GEORGETOWN - Gara-gara gagal memaklumkan kepada pihak atasan berkenaan kejadian runtuhan rod penebat kilat di Menara Umno yang meragut nyawa seorang kelindan lori 13 Jun lalu, seorang juruteknik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diarahkan pindah ke jabatan lain.

Juruteknik terbabit yang bertugas di pusat kawalan dan operasi CCTV MPPP dipindahkan serta-merta berkuatkuasa semalam, sementara menunggu siasatan.

Setiausaha MPPP, Ir Ang Aing Thye berkata, tindakan itu diambil kerana juruteknik itu gagal memaklumkan kejadian sebenar walaupun melihat rakaman CCTV itu.

Menurutnya, terdapat dua rakaman dibuat di pusat kawalan berkenaan pada hari kejadian iaitu di persimpangan Jalan Anson dan Jalan Penang dan satu lagi di persimpangan Jalan Zainal Abidin, depan Menara Umno.

“Sehari selepas kejadian ribut itu, juruteknik terbabit melihat kedua-dua rakaman itu dan hanya menyatakan bahawa hanya angin yang kuat dan percikan api pada jam 6.34 petang, disusuli kesesakan lalu lintas pada jam 6.45 petang pada hari kejadian.

“Pada 15 Jun lalu, pegawai MPPP, pihak kontraktor dan juruteknik itu menonton kembali rakaman berkenaan dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena ketika melihat ada konkrit jatuh dari Menara Umno,” katanya.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPP, A Rajendran.
Aing Thye berkata, pihak kontraktor menghubungi polis bagi memaklumkan perkara berkenaan tetapi diberitahu polis tidak dapat memberi pengesahan sama ada sebarang kenderaan terperangkap di bawah runtuhan terbabit.

“Apabila kontraktor menonton semula rakaman CCTV di Komtar barulah dapat dilihat dengan jelas memang ada kenderaan dihempap runtuhan itu dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat  juga dipanggil untuk melihat rakaman itu,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri meminta polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bekerjasama dengan jawatankuasa siasatan yang menyiasat insiden runtuhan itu.

Katanya, jawatankuasa itu diketuai oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Yeo Yang Poh dan menegaskan bahawa ia adalah jawatankuasa bebas kerana tidak dianggotai pemimpin kerajaan negeri.

Dalam kejadian itu, seorang warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dipandu rakan sekerjanya dihempap rod penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan.

Tiga hari kemudiannya pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta dijumpai sama dengan laporan dibuat seorang wanita mendakwa suaminya, Lim Chin Aik, 44 tidak pulang selepas keluar mengambil anak mereka pulang dari sekolah.

Pembangkang pertikai titah YDP Agong di Dewan Rakyat



KUALA LUMPUR - Reaksi beberapa anggota Parlimen mewakili pakatan pembangkang dilihat seolah-olah mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, titah Seri Paduka itu "boleh dibahas, dipertikai dan dibantah daripada segi hujah kerana fakta yang dikemukakan adalah dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dalam amalan demokrasi berparlimen, titah (Yang di-Pertuan) Agong bukan arahan, ia adalah untuk dibahaskan. Kalau arahan buat apa nak dibahaskan.

"Tuanku berucap berdasarkan usul Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan pertimbangkan di Parlimen dan bahas," kata Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Antara lain, Tuanku Abdul Halim menggesa semua pihak menerima dan menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) serta bekerjasama untuk membolehkan matlamat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 tercapai.

Ditanya sama ada pembangkang akan terus mengadakan apa yang dipanggil perhimpunan 'Blackout 505' untuk mempertikai keputusan PRU13 berikutan titah Tuanku Abdul Halim itu, Anwar berkata: "Ucapan itu dicadangkan oleh perdana menteri."

Anggota Parlimen Bukit Katil dari PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata titah Seri Paduka tentang keputusan PRU13 "merupakan pendirian kerajaan BN dan keputusan PRU itu boleh dipertikai di mahkamah".

"Tidak bermakna ia (keputusan PRU13) tidak boleh langsung dipertikai melalui saluran mahkamah dan ini yang kita sedang lakukan sekarang," katanya.
Dalam pada itu, titah Tuanku Abdul Halim supaya semua pihak bekerjasama dan membuang sifat-sifat yang membawa perpecahan dan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk mengeratkan perpaduan mendapat reaksi positif anggota Parlimen Temerloh dari Pas, Nasrudin Hassan Tantawi.
Beliau mengalu-alukan sebarang kerjasama antara kerajaan dan pembangkang asalkan ia berlandaskan Islam serta membawa kebaikan kepada rakyat. 
"Maksud kerjasama baik seperti diajar dalam Islam ialah yang mendatangkan kebaikan, bukan kerjasama dalam perkara yang boleh membawa mudarat dan permusuhan," kata Nasrudin.
Mengenai keputusan PRU13, Ketua Pemuda Pas itu berkata: "Kita terima keputusan PRU13 dan kerana itu pembangkang telah datang angkat sumpah (sebagai anggota Dewan Rakyat semalam)."
Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dari PKR berkata selaku pengarah perhimpunan Blackout 505, beliau tidak mempunyai rancangan untuk meneruskannya.
Menurutnya, menerima keputusan PRU13 tidak bermakna menutup apa yang didakwanya sebagai "kecurangan" yang berlaku semasa pilihan raya itu.

Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS pula berkata kerajaan mahupun pembangkang perlu memainkan peranan berkesan dalam memastikan rakyat dan negara sentiasa membangun ke arah yang lebih baik.
Sementara itu, Anggota Parlimen Ampang dari PKR, Zuraidah Kamaruddin menyambut baik penekanan Tuanku Abdul Halim berhubung kepentingan institusi keluarga dan peranan wanita dalam memajukan negara.
"Pengukuhan institusi keluarga perlu dilakukan sekarang, menteri (berkenaan) yang baharu perlu ambil langkah proaktif untuk meningkatkan guna tenaga wanita di negara ini," katanya.  - Bernama

Khairy sedia bertemu FAM demi masa depan bola sepak negara

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan secara lebih serius mengenai masa depan bola sepak negara. 

Katanya, beliau menyambut baik hasrat Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang bercadang mengaturkan perjumpaan antara badan induk bola sepak kebangsaan itu dengan beliau, namun menegaskan agar perbincangan itu akan membabitkan mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan bagi kedua-dua pihak. 



"Saya nak dengar daripada peringkat (pemimpin) yang tinggi (dalam FAM) seperti imbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah...pemimpin tertinggi FAM) yang mempunyai kuasa. 


"Kita nak bincang soal masa depan bola sepak negara, saya nak bersemuka dengan FAM dan tidak menerusi media...perjumpaan itu biarlah mereka yang ada kuasa untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penajaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16, di sini, hari ini. 

Hamidin dalam laporan media hari ini berkata FAM dijangka mengadakan perbincangan dengan Khairy bagi menjelaskan situasi terbaru melibatkan badan induk itu serta perancangan program pembangunan bola sepak negara pada masa depan. 

Sebelum ini, Khairy dilihat ‘patah hati’ dengan FAM selepas enggan mengulas berhubung kemelut terbaru yang melanda badan induk itu melibatkan wang tajaan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia (Liga M) kepada persatuan bola sepak negeri-negeri. 

Khairy juga dipetik sebagai berkata FAM perlu mendengar pandangan anggota gabungan yang berpengalaman sekiranya tidak mahu mendengar cakapnya yang dianggap sebagai 'menteri hingusan'. - BERNAMA

KERAJAAN DAP NAK SIASAT SENDIRI , LAPORAN LENGKAP AKAN DIDEDAHKAN KEPADA RAKYAT




GEORGETOWN - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang bagi menyiasat kegagalan struktur sivil yang berlaku dalam dua kejadian runtuhan di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, ia dicadangkan dalam mesyuarat exco semalam untuk menyiasat secara menyeluruh terhadap dua kejadian yang meragut nyawa orang awam itu.

Insiden runtuhan Jambatan Pulau Pinang mengorbankan satu nyawa manakala insiden di Menara Umno meragut nyawa dua orang awam.

Guan Eng berkata, penubuhan itu dibuat di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang menetapkan tiga terma rujukan iaitu menyiasat punca kejadian itu berlaku, menyemak dan memastikan sama ada semua kelulusan dan kebenaran diperolehi dari jabatan berkenaan secara sah termasuk pengecualian yang diberikan, sekiranya ada.

“Selain itu, terma rujukan yang ketiga ialah menghukum pihak yang terlibat khususnya mana-mana jabatan atau pemilik bangunan jika terbukti ada kecuaian serta mencadangkan langkah perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang sehingga berlaku kehilangan nyawa,” katanya kepada media, hari ini.

Menjawab soalan media sama ada siasatan oleh suruhanjaya itu bakal mengganggu siasatan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh), Guan Eng berkata, perkara itu tidak timbul berikutan siasatan yang dilakukan pihaknya bersifat kebajikan awam di negeri ini.

“Siasatan kita tidak akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan (Dosh), mereka masih dengan siasatan mereka. Kita pun akan jalankan siasatan malah kita lebih bersifat terbuka kerana mementingkan persepsi masyarakat. Bukan senang nak kembalikan keyakinan rakyat setelah apa yang berlaku.

“Sebab itu, keputusan siasatan akan diumumkan kepada awam supaya mereka tahu apa sebenarnya berlaku sementara Dosh menjalankan siasatan dalaman dan hasil siasatannya tidak diumumkan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, suruhanjaya itu dijalankan secara profesional dan bebas bagi mencari kebenaran untuk keadilan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, Guan Eng meminta sebuah klip video yang diambil dari rakaman sistem kamera litar tertutup (cctv)di Jalan Macalister ditayangkan untuk tontonan keluarga mangsa dan media.

Keluarga mangsa dilihat tidak dapat menahan kesedihan apabila klip video berdurasi 14 saat itu diulang tayang beberapa kali dan turut meminta salinannya untuk simpanan.

Terdahulu, seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian angin kencang yang melanda 21 kawasan di negeri ini.

Warga India, Jahir Sulaiman, 46, maut apabila lori yang dibawa rakan sekerjanya dihempap penebat kilat dan mengakibatkan kepalanya cedera parah manakala pemandu lori itu cedera ringan. Jahir meninggal dunia sebaik dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, orang ramai Sabtu lalu gempar apabila pekerja pembersihan menjumpai serpihan kereta yang dipercayai jenis Honda City berwarna gelap yang terbenam di bawah konkrit yang terhempas ke jalan raya yang membentuk kawah kesan terjatuhnya penebat kilat dari Menara Umno.

Polis mengesahkan nombor casis pada serpihan kereta yang dijumpai sama dengan laporan yang dibuat isteri mangsa.

Isterinya mendakwa suaminya, seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, hilang sejak kejadian itu berlaku ketika keluar rumah untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah.

LAPORAN SIASATAN MANGSA TRAGEDI RUNTUHAN SELESAI




GEORGETOWN: Laporan siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang dikhuatiri tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini telah selesai, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng. 
Beliau berkata, hasil penemuan siasatan itu akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada hari ini bagi proses permohonan sijil kematian. 
"Polis bertindak berpandukan apa yang telah kita peroleh seperti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) untuk melakukan kerja mengesan dan menyelamat dan kita percaya mayat mangsa berada di sekitar kawasan kejadian, tetapi tidak dapat dijumpai," katanya di sini hari ini. 
Beliau berkata, pasukan Jabatan Kimia dan Forensik dari Hospital Pulau Pinang turut selesai melakukan ujian di sekitar kawasan kejadian semalam dan tidak menemui sebarang tisu badan dan kesan darah di tempat itu. 
Gan berkata, kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan orang hilang dan sijil kematian dijangka dapat diserahkan kepada keluarga mangsa, Jumaat ini. 
Dalam kejadian angin kencang Khamis lepas, seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus apabila pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa bahagian kereta Honda City berwarna gelap terbenam di kawasan runtuhan pada Sabtu. 
Polis mengesahkan nombor casis kereta yang terbenam itu sepadan dengan kereta milik mangsa yang dilapor hilang sejak hari kejadian selepas keluar mengambil anaknya di sekolah. 
Susulan itu, pihak berkuasa memulakan operasi mencari dan mengesan mangsa, tetapi operasi terpaksa dihentikan sepenuhnya pada 8 pagi Isnin untuk mengelak struktur bangunan warisan di kawasan itu terjejas.

UMNO P.Pinang hulur sumbangan keluarga mangsa tragedi runtuhan @dzainalabidin



Keluarga Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai hilang dan tertimbus dalam lubang yang terbentuk selepas rod penebat kilat jatuh dari puncak Menara UMNO di Jalan Macalister Khamis lalu berpuas hati dan menghargai semua pihak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Sepupu Chin Aik, Roy Tan Kok Hor, 51, berkata, mereka menerima ketentuan yang berlaku biarpun kejadian tersebut amat menyedihkan.

Menurutnya, ketika ini mereka sedang mengatur untuk mengadakan upacara keagamaan buat Chin Aik.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan apa yang menimpa keluarga kami. Kami amat menghargainya," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Roy mengiringi isteri Chin Aik, Lee Chai Song, 44, menerima sumbangan daripada UMNO yang disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengumumkan penubuhan jawatankuasa inkues sebagai langkah terbaik bagi menentukan status mangsa selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan, selain mendapat persetujuan keluarga.

Dalam kejadian ribut terburuk yang pernah melanda negeri ini, dua terbunuh manakala lapan kenderaan lain di Jalan Macalister dihempap runtuhan rod konkrit penebat kilat berkenaan dan membentuk lubang besar.

JAHARA HAMID CIPTA SEJARAH DILANTIK KETUA PEMBANGKANG WANITA PERTAMA DI P.PINANG




Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Air Tawar Datuk Jahara Hamid dilantik ketua pembangkang Pulau Pinang yang baharu, menggantikan Adun Penaga Datuk Azhar Ibrahim yang bersara.

 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata sebelum ini, pihaknya mengenal pasti beberapa calon untuk mengisi jawatan itu dan mengemukakannya kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

 “Setelah menunggu keputusan dari pucuk pimpinan, kita sudahpun mendapat keputusan bahawa Perdana Menteri telah memberi persetujuan memilih Jahara sebagai ketua pembangkang.

 “Kita amat gembira dengan pelantikan itu kerana ia menjadi sejarah di Malaysia apabila wanita dilantik sebagai ketua pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pelantikan Jahara juga membuktikan UMNO mengiktiraf pemimpin wanita. Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang juga memberi kepercayaan penuh kepada Jahara melakukan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum dan bangsa.

 “Kita yakin dan percaya Jahara akan dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaiknya, serta menjadi wakil untuk semua kaum di negeri ini dalam apa jua isu untuk disuarakan di dalam DUN, dan pemilihan beliau dibuat berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik,” katanya.

 Jahara, yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sukan kerajaan negeri semasa BN memerintah Pulau Pinang, merupakan wakil rakyat bagi Teluk Air Tawar sejak lima penggal lepa

PENEBAT KILAT RUNTUH , KERAJAAN DAP LEBIH BAIK TANYA KEPADA ANWAR




GEORGETOWN - Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang diterajui Gerakan sebelum ini berhubung kebenaran pembinaan Menara Umno dibina sebelum pelan pembangunannya dikemukakan dan diluluskan.

Menurutnya, kerajaan tempatan ketika itu membenarkan bangunan itu dibangunkan seperti yang dimohon kontraktor di atas klasifikasi sebagai kerja khas iaitu pada 23 Disember 1995, sedangkan pelan bangunan yang pertama diserahkan selepas dua tahun iaitu pada 31 Julai 1997 manakala pelan yang diubahsuai pula dihantar pada 24 Julai 1998.

“Bagaimana kerajaan negeri ketika itu tunduk kepada Umno negeri dengan membenarkan kerja bermula walaupun pelan bangunan itu belum dikemuka?

Jika kita lihat dari sejarah terdahulu, pada 1 Oktober 1996, Timbalan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shariff Omar telah melawat bangunan berkenaan seolah-olah 'merestui' ia dibangunkan walaupun pembinaan pelan bangunan masih belum diserahkan.

“Selepas itu, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pula mengeluarkan satu surat kepada Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan untuk bertanya kepadanya alasan mengapa berlaku kelewatan di dalam projek berkenaan.

"Dalam surat itu, Tsu Koon memaklumkan bahawa beliau perlu melaporkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada media di tapak kejadian semalam.

Ketika dihubungi, Hock Nan berkata, kejadian itu berpunca daripada 'masalah teknikal yang berlaku semasa bencana alam' yang mana arkitek dan jurutera terlibat tidak dapat meramalkan bahawa penebat kilat itu akan jatuh dari bangunan berkenaan.

“Terdapat banyak bangunan lain dengan struktur yang sama seperti di Menara Umno namun, selagi arkitek bertanggungjawab bersedia untuk membayar denda jika mereka tidak mematuhi garis panduan, prosedur dan pelan bangunan, saya rasa itu tidak menimbulkan masalah. Kita mengadakan garis panduan dan prosedur yang ketat serta telus pada masa bangunan itu dibangunkan.

“Arkitek yang dilantik juga adalah dari sebuah syarikat antarabangsa terkenal dan pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa berikutan hasil kerja mereka setaraf dengan anugerah yang diberikan.
Apa yang Wei Aik cuba sampaikan dengan mengajukan soalan sebegini?” katanya.

Menurutnya, Wei Aik tidak sepatutnya menyalahkan mana-mana pihak berikutan apa yang lebih penting ialah memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Persoalan beliau dilihat seperti cuba untuk memberi gambaran bahawa kerajaan negeri sebelum ini membenarkan bangunan itu dibina dengan cepat seperti yang dimahukan Umno tanpa mengambil kira keselamatan orang awam.

“Kenyataan itu sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dikeluarkan. Tidak wajar untuk mewujudkan kebencian rakyat terhadap  pentadbiran kerajaan sebelum ini terutama kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Shaik Hussein Mydin berkata, bangunan itu dibina pada 1998.

“Seingat saya, bangunan ini dibina pada 1998 iaitu ketika Anwar selaku orang pertama dalam Umno di negeri ini. Oleh itu, saya tidak boleh komen lebih berhubung status bangunan ini serta reka bentuknya.

“Jika sesiapa yang hendak tahu lebih berhubung perkara ini, sila bertanya kepada Anwar kerana saya percaya, beliau lebih tahu semuanya,” katanya.

TAK ADIL KERAJAAN DAP MENUDUH PASUKAN PENYELAMAT LAMBAT BUAT KERJA


GEORGE TOWN, 17 Jun – Pemuda UMNO Pulau Pinang memuji kecekapan pasukan mencari dan menyelamat ketika melaksanakan tugas mereka dalam kejadian penebat kilat runtuh di Jalan Macalister, di sini Khamis lepas.
Ketuanya Dr Shaikh Hussein Mydin berkata mereka yang meliputi anggota bomba dan penyelamat, polis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan pekerja binaan telah melaksanakan tugas dengan baik berdasarkan piawaian kerja yang ditetapkan.
“Justeru tidak adil sekiranya (ada) kata pasukan mencari dan menyelamat ini lambat buat kerja, beri mereka ruang untuk menyiapkan semua kerja mereka,” katanya selepas meninjau kawasan kejadian, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng mendakwa pasukan mencari dan menyelamat terbabit lambat dalam menjalankan kerja-kerja terbabit.
Mengulas lanjut, Shaikh Hussein berkata setiap perkara yang dilakukan pasukan mencari dan menyelamat dilaksana dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Pada Khamis lepas, penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO  di Jalan Macalister di sini, runtuh dan menghempap jalan serta beberapa kenderaan, susulan kejadian angin kencang.
Insiden pukul 6.45 petang itu turut mengorbankan Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap struktur binaan penebat tersebut.
Selain itu, seorang lagi mangsa Lim Chin Aik, 44, juga dikhuatiri maut dalam kejadian berkenaan selepas polis menemui casis kereta yang terbenam di kawasan runtuhan sepadan dengan kereta milik penjual nasi lemak terbabit.
Usaha mencari dan mengesan Lim dihentikan hari ini selepas pihak berkuasa khuatir operasi menggali di kawasan itu akan menjejaskan struktur bangunan lain memandangkan keadaan tanah yang lembut dan mudah mendap.
Lim yang memandu kereta jenis Honda City dilapor tidak kembali ke rumahnya sejak keluar untuk menjemput anaknya di sekolah pada petang hari kejadian.

UMNO BANTU 20 KELUARGA MANGSA RIBUT DI TASEK GELUGOR @dzainalabidin


TASEK GELUGOR 17 Jun - Sebanyak 20 keluarga di kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kuat Khamis lalu menerima bantuan bencana alam daripada UMNO. Mereka yang terbabit terdiri daripada penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua yang terpaksa menanggung kerugian setelah rumah mereka rosak dipukul ribut.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk terlibat. "Ribut yang melanda negeri ini Khamis lalu turut mengakibatkan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai mengalami kerosakan.

"Pihak UMNO Bahagian Tasek Gelugor amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk dan atas dasar itu kita telah memberi bantuan sebanyak RM300 untuk 20 keluarga supaya mereka dapat menggunakan wang tersebut untuk membaiki rumah yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, penduduk yang ditimpa bencana harus menjadikan kejadian tersebut sebagai iktibar dan menerimanya dengan reda. Sementara itu, seorang penduduk, Nayan Mat, 59, berkata, kejadian angin kencang dan ribut yang berlaku baru-baru ini adalah kejadian yang pertama pernah berlaku kepada mereka sekeluarga.

"Tidak sangka pada hari itu angin terlalu kuat hingga merosakkan bahagian bumbung rumah saya dan kerosakan teruk boleh dilihat di bahagian dapur.

"Kos untuk membaiki keseluruhan bumbung pula agak tinggi dan dengan pemberian bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya untuk membaikinya," ujarnya.

Zawiyah Jaafar, 44, pula memberitahu, sejak rumahnya dipukul ribut, mereka sekeluarga tidak selesa kerana bahagian bumbung yang rosak teruk masih belum mampu untuk dibaiki.

"Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan kesihatannya juga tidak menentu sejak kebelakangan ini. Jadi, suami tidak mampu untuk membaiki bumbung sendiri.

"Bantuan sebanyak RM300 ini akan saya gunakan untuk membaiki bumbung yang rosak kerana sekarang ini setiap hari hujan dan kalau tidak dibaiki segera, rumah kami akan basah," katanya.

JANGAN CAMPUR ADUK SENTIMEN POLITIK DALAM ISU BENCANA ALAM - ZAHID



- Perbezaan politik seharusnya diketepikan demi mencapai penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu termasuk bencana alam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mencampur aduk sentimen politik dalam kejadian rod penebat kilat di atas Menara UMNO yang jatuh ke Jalan Macalister sehingga menyebabkan kematian hanya akan merumitkan keadaan.

Menurutnya, hasil perbincangannya dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, segala kerumitan dapat diselesaikan dan semua pihak akhirnya mendapat keputusan terbaik.

"Hari ini kita buktikan perbezaan politik dapat diketepikan demi mencapai keputusan terbaik.

 "Bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri, kita akan menyerahkan bantuan kepada keluarga mangsa.



"Selain itu, saya akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang bentuk bantuan yang dapat disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga mangsa," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak kejadian di sini hari ini.



Yang turut hadir Guan Eng; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir ; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan isteri mangsa, Lee Chai Song.
Khamis lalu, negeri ini dilanda ribut menyebabkan tiang rod penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO tumbang lalu menghempap beberapa kenderaan di kawasan tersebut.

Seorang lelaki, Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus dalam lopak yang terbentuk akibat dihempap rod tersebut dan mayatnya gagal ditemui meskipun rangka kenderaannya berjaya dikeluarkan.
Berikutan kejadian itu, pembangkang seolah-olah menyalahkan UMNO dan isu tersebut sengaja dimainkan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bertujuan memburuk-burukkan UMNO.

Kerajaan Pusat hulur bantuan kepada mangsa tragedi runtuhan



- Sebuah jawatankuasa inkues ditubuhkan bagi menyiasat dan memutuskan status Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai hilang dalam kejadian runtuhan rod konkrit penebat kilat Menara UMNO di Jalan Macalister akibat ribut pada Khamis lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat seperti polis, bomba, pasukan forensik, kerajaan DAP Pulau Pinang dan keluarga mangsa.

"Setelah forensik menjalankan pemeriksaan hari ini, tiada sebarang bukti ditemui tentang mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam lubang yang terbentuk itu.
"Jadi, kita putuskan penubuhan inkues bagi menyiasat perkara ini. Inkues itu akan bermula esok dan mengambil masa tiga hari," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian dan mengadakan mesyuarat berhubung tragedi berkenaan di sini hari ini.

Turut serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Ahmad Zahid berkata, inkues berkenaan akan diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan keputusannya diserahkan kepada beliau pada 20 Jun ini.

"Ini perlu dilakukan supaya Jabatan Pendaftaran Negara dapat mengeluarkan sijil kematian dan anggota keluarga boleh menggunakannya untuk membuat tuntutan insurans dan sebagainya.

"Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim tentang bantuan yang dapat disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana mangsa adalah pencari nafkah kepada keluarga dan tiga anaknya. Selain itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri juga akan menghulurkan bantuan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, walaupun kejadian tersebut disifatkan sebagai bencana alam, beliau memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana kesulitan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi.

Dalam kejadian ribut yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri ini serta mengorbankan dua nyawa, rod penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO patah dipukul angin kuat, seterusnya menghempap lapan kenderaan yang ketika itu melalui jalan berkenaan.

Akibatnya, terbentuk satu lubang selebar tiga meter dan ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan pada Sabtu lalu, pekerja menemui bahagian bumbung sebuah kereta yang tertimbus di dalam lubang itu.
Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan casis kereta jenis Honda City dan sepadan dengan yang dilaporkan hilang sehari selepas kejadian.

Usaha pasukan mencari dan menyelamat bersama kontraktor menggali kawasan berkenaan sehingga mencapai kedalaman lapan meter, bagaimanapun gagal menemui mayat mangsa.

Bangkai kereta berkenaan hanya berjaya dikeluarkan selepas 48 jam operasi dijalankan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerja-kerja mencari terpaksa dihentikan kerana mendapat nasihat jurutera yang mengatakan berbahaya kepada bangunan di sekeliling.

"Akibat kerja-kerja mencari yang dilakukan sebelum ini, beberapa bangunan seperti masjid yang terletak di tempat kejadian mengalami keretakan.

"Kita terpaksa hentikan operasi kerana bimbang kesan jangka panjang dan ini keputusan terbaik," katanya.

Hilmi bidas DAP politikkan runtuhan di Menara UMNO




Tindakan parti pembangkang mempolitikkan kejadian rod penebat kilat setinggi hampir 20 meter di Menara UMNO di Jalan Macalister yang tumbang akibat ribut Khamis lalu, disifatkan melampau.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, parti itu tidak wajar dipersalahkan dalam kejadian tersebut kerana apa yang berlaku adalah disebabkan bencana alam.
Katanya, pihak terbabit sengaja memainkan isu tersebut di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bertujuan memburuk-burukkan UMNO.



"Bencana alam yang berlaku pun mahu dipolitikkan? Tiada kerja lainkah?

"Kejadian ini melibatkan nyawa manusia, janganlah nak dikaitkan dengan politik," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pihak pembangkang yang menyalahkan UMNO berhubung kejadian di Jalan Macalister pada Khamis lalu.

Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Balik Pulau menambah, UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawab selepas kejadian berkenaan.
Malah jelas beliau, pihaknya turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian tersebut.

"Kami juga memberikan kerjasama kepada semua pihak dan agensi terlibat dalam kerja-kerja pembersihan dan mencari mangsa hilang," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan percaya isu tersebut sengaja dimainkan oleh pembangkang khususnya menerusi tentera siber, Red Bean Army.
"Saya kesal perkara sebegini berlaku kerana kejadian pada Khamis lalu adalah di luar kawalan manusia," katanya.


Siri Jelajah Penerangan Pemilihan UMNO bermula hari ini




Ahli Jawatankuasa Pemilihan UMNO akan memulakan siri jelajah untuk menerangkan kaedah baharu pemilihan parti berkenaan mulai esok, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ia bertujuan memberi penerangan kepada setiap anggota di peringkat akar umbi.
“Menerusi kaedah baharu itu akan diwujudkan hari pencalonan untuk jawatan tertinggi parti dan hari pemilihan,” katanya selepas majlis taklimat mengenai perkhidmatan bas Nadi Putra oleh Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Sdn Bhd (PAPSB) di sini hari ini.
Beliau yang juga anggota jawatankuasa itu berkata, semakan senarai calon akan dibuat sebelum nama-nama tersebut diumumkan untuk membolehkan kira-kira 150,000 anggota di peringkat cawangan dan bahagian membuat pengundian.
Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, mengumumkan pemilihan UMNO kali ini akan dilaksanakan dengan mengguna pakai perlembagaan baharu parti yang membuka peluang kepada hampir 500,000 anggota di peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan parti.
Pemilihan akan dijalankan selepas mesyuarat peringkat bahagian dan sebelum perhimpunan agung parti.
Satu jawatankuasa pemilihan diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri 
 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger