KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dari sekarang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, tegas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Walaupun ia akan berlangsung 5 tahun lagi, namun usaha itu perlu supaya cabaran dan tentangan dari pihak lawan dapat dipatahkan.
"Saya kira tempoh lima tahun bukan satu tempoh yang panjang.
Untuk menentukan pencapaian dan kejayaan yang besar, kita telah mulakan kerja kita untuk PRU14 sekarang ini, bukan esok.
"Selepas satu tempoh waktu rehat sudah habis, maka tugas dan tanggungjawab kita sudah tersedia di hadapan. Sanggupkah kita pikul tanggungjawab itu?" soal beliau kepada hadirin yang hadir di Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Jentera Barisan Nasional Wilayah Persekutuan di Taman Kejiranan Air Panas Setapak, Setiawangsa.
"Pada PRU13 lalu, pihak pembangkang telah beri cabaran besar kepada kita lebih-lebih lagi dalam menarik sokongan pengundi di Wilayah Persekutuan.
Tambahnya lagi, meskipun prestasi BN tidak begitu memuaskan pada pilihan raya lepas, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat kepada ahli-ahlinya untuk bangun meneruskan perjuangan parti.
"Walaupun ada kawasan-kawasan yang kita kalah, tapi kita telah menunjukkan kesungguhan kita dan menghadapi cabaran dengan gigih dan berani dan menunjukkan BN tidak pernah menyerah kalah hanya kerana pilihan raya ini kita tidak mengecapi kejayaan," jelasnya lanjut.
Hadir sama di majlis berkenaan adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan beberapa lagi pemimpin Barisan Nasional yang lain.
Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Wilayah Persekutuan yang memberi sokongan kepada kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal bulan lalu.
BN selain itu katanya perlu menilai segala faktor kejayaan dan kekalahan mereka di kawasan pilihan raya lalu bagi mengembalikan sokongan rakyat di masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin BN tidak leka dan angkuh dengan jawatan yang dimiliki, malah perlu bekerja keras untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
"Ini bukan soal kita, ini bukan soal BN, tapi ini soal rakyat jelata. Rakyat hari ini bijaksana, mereka tahu apakah tugas dan peranan kita, mereka nak sesuatu yang lebih baik supaya Malaysia menjadi lebih maju dan makmur, demokrasi matang dan sistem kerajaan adil dan saksama. Ini tuntutan mereka.
"Apa mereka nak lihat adakah BN bersungguh-sungguh nak laksanakan tanggungjawab dan memenuhi segala akujanji dalam manifesto yang lepas," ujar belia
Post a Comment