PENAMPANG: Datuk Seri Najib Razak memberi bayangan Barisan Nasional (BN) bersedia mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bila-bila masa selepas menerima kepercayaan rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN sudah menepati semua janjinya dan rakyat berkeyakinan penuh apa yang diumumkan dalam Bajet 2013 hujung bulan lalu, akan dilaksanakan dan dinikmati mereka.
“Bila kita umum Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semua yakin tahun depan akan dapat BR1M. Sebab itu kita nak buat pilihan raya pada bila-bila saja kerana rakyat yakin dengan kita.
Apabila berjanji, kita tunaikan,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman) dan Perasmian Jambatan Inobong di sini, semalam.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komuniti yang juga Ahli Parlimen Penampang, Tan Sri Bernard Dompok dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri, Datuk Seri Salleh Said.
Perdana Menteri berkata, tanggungjawab mentadbir negara bukan perkara yang mudah dan sehubungan itu, kerajaan tidak berbelanja mengikut kehendak atau nafsu semata-mata untuk meraih populariti serta sokongan rakyat.
“Pembangkang pada 2008 nak menang (PRU), mereka tabur janji, tapi tanya rakyat Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, banyak mana janji sudah dilunaskan kerajaan negeri selepas empat tahun berkuasa, 100 peratus jauh sekali, 90 peratus (ditunaikan) tidak disokong dengan fakta.
Post a Comment