PULAU PINANG 10 Julai - Polis memberi amaran bertindak tegas sekiranya program penerangan anjuran kerajaan DAP Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam esok, cuba menghasut rakyat sehingga mencetuskan kekecohan.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, anggota-anggotanya akan ditempatkan di lokasi berkenaan bagi memantau keadaan dan mengambil tindakan tegas jika perlu.
"Polis akan mengambil tindakan berlandaskan undang-undang jika ada mana-mana pihak yang cuba menghasut atau mencetuskan insiden buruk sepanjang program berlangsung.
"Kita tidak mahu sebarang kekecohan berlaku di negeri ini," katanya ketika ditemui pada program gotong-royong pasukan polis dan tentera bersama penduduk Bukit Gedung di sini hari ini.
Menurut Ayub, polis tidak menghalang orang ramai untuk menyuarakan pendapat tetapi ia perlu dilakukan mengikut undang-undang.
Kerajaan DAP Pulau Pinang dijadual mengadakan Majlis Penerangan Rakyat di Tapak Ekspo Seberang Jaya pukul 8 malam esok.
Antara pemimpin pembangkang yang dijangka hadir ialah Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Perhimpunan yang dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu sepatutnya berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong dan Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 30 Jun lalu.
Bagaimanapun, ia dibatalkan selepas polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang dua perhimpunan berkenaan.
Post a Comment