Headlines News :
Home » » Pemuda BN P.Pinang meragui hubungan Guan Eng & KLIDC

Pemuda BN P.Pinang meragui hubungan Guan Eng & KLIDC



PULAU PINANG 24 Ogos - Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri mendakwa seorang perempuan yang digelar sebagai 'Cik P' dan merupakan pemilik sebuah banglo di Jalan Pinhorn yang kini diduduki Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkemungkinan mempunyai kaitan dalam penjualan tanah kosong seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini.

 Ketua Penerangannya, H'ng Khoon Leong mendakwa, Cik P merupakan rakan kongsi kepada seorang individu bergelar Datuk dari Sabah yang merupakan pemegang saham Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC).

 Katanya, siasatan mendapati, Cik P membeli banglo itu dengan harga RM2.5 juta dan membelanjakan kira-kira RM1 juta untuk pengubahsuaian dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 .

 "Kami meragui hubungan antara Ketua Menteri dan KLIDC kerana sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Guan Eng berpindah ke banglo itu pada 2 Julai 2009," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan BN negeri di sini hari ini.

 Hadir sama, Ketua Pemuda BN, Oh Tong Keong. Pemuda BN negeri sebelum ini melahirkan kekesalan dengan tindakan kerajaan negeri menjual tanah berkenaan kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

 Mereka terkejut apabila mendapat tahu tapak berkenaan akan dibangunkan sebagai hotel dan hospital swasta. Tanah itu sepatutnya dibangunkan untuk projek fasa kedua rumah kos rendah sebanyak 272 unit selepas 320 unit fasa pertama siap beberapa tahun lalu.

 Sementara itu, Tong Keong mendesak Guan Eng agar menjelaskan hubungannya dengan KLIDC dan mengisytiharkan semua dokumen penjualan tanah Taman Manggis kepada orang ramai. Ini kerana pihaknya bimbang wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa kerajaan DAP negeri dalam penjualan tapak tanah berkenaan.

 Lebih baik Guan Eng tampil dan memberikan penjelasan kerana beliau masih enggan menjawab soalan kami sejak Jun lalu.

 "Sekiranya beliau enggan memberikan penjelasan, kami akan terus mendedahkan kebenaran berkaitan skandal penjualan tapak tanah Taman Manggis ini," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger