Headlines News :
Home » , » Tempat Parking Bukit Bendera didakwa berlaku penyelewengan & salahgunakuasa

Tempat Parking Bukit Bendera didakwa berlaku penyelewengan & salahgunakuasa




Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

Pengerusi KITA negeri, Tan Tee Beng berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa menyalurkan dana RM50 juta bagi pembinaan tempat letak kereta tersebut walaupun projek itu tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Sehubungan itu katanya, SPRM diminta menyiasat Guan Eng serta MPPP berhubung pelaksanaan projek berkenaan yang salah di sisi undang-undang.

“Bagaimana boleh tempat letak kereta ini dapat dibangunkan tanpa kelulusan rancangan pembangunan? Pada masa sama, kenapa pihak MPPP tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang pembinaan haram ini?

“SPRM juga perlu menyiasat bagaimana PDC boleh menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada pihak berkenaan untuk membina bangunan haram ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut di pejabat SPRM Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Tee Beng menegaskan, pada peringkat ini, SPRM perlu mengesahkan sama ada pembinaan tempat letak kereta bertingkat itu mempunyai kelulusan rancangan pembangunan MPPP dan menyiasat dakwaan bahawa PDC menyalurkan dana bagi pembinaannya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, perkara itu harus disiasat segera supaya pihak terbabit tiada peluang untuk mengubah sebarang bukti di dalam dokumen sedia ada.

“Pada masa sama, saya bersedia bekerjasama dengan pihak SPRM untuk memberikan maklumat sekiranya saya dapat bukti yang baru dan kukuh,” tambahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang, Tee Beng berkata, KITA telah menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Pimpinan (JEP) yang akan mengkaji langkah serta strategi untuk bertanding di kerusi yang mampu dimenangi parti itu.

Katanya, ahli-ahli parti itu boleh memilih sesiapa sebagai calon, namun ia terpulang kepada keputusan muktamad Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger