Setiausahanya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, surat itu yang dihantar oleh Ibu Pejabat UMNO memaklumkan pelucutan jawatan Khairuddin selaras dengan perlembagaan dan peraturan-peraturan persidangan parti.
Menurut beliau, pelucutan itu juga mematuhi Perkara 9A (1) (d) Akta Pertubuhan 1966 yang menghalang mana-mana individu yang telah diisytihar muflis dan belum dilepaskan daripada status tersebut daripada memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan.
“Beliau (Khairuddin) telah diisytiharkan sebagai seorang yang bankrap oleh mahkamah pada 24 Mei tahun lalu dan satu laporan tentang perkara itu telah dibuat kepada ibu pejabat parti.
“Bagaimanapun Khairuddin masih kekal sebagai ahli UMNO dan boleh menghadiri persidangan tahunan parti di peringkat cawangan yang beliau menjadi ahli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pelucutan jawatan Khairuddin selepas disahkan muflis oleh mahkamah pada tahun lalu.