Headlines News :
Home » » JKP & PERDA TERUS TAWAR DISKAUN 5 % KEPADA BUMIPUTRA

JKP & PERDA TERUS TAWAR DISKAUN 5 % KEPADA BUMIPUTRA


GEORGE TOWN, 25 Feb  -- Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini diminta menjelaskan mengenai wang terkumpul dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang yang didakwa tidak digunakan untuk membina perumahan gantian bagi bumiputera.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman turut meminta kerajaan negeri pimpinan DAP itu mengisytiharkan jumlah lot perumahan kuota bumiputera yang dilepaskan oleh kerajaan negeri sejak 2008 hingga kini.

"Kami minta kerajaan negeri menjelaskan, kenapa selepas lima tahun penubuhannya, wang terkumpul dalam akaun amanah itu tidak diguna pakai oleh kerajaan negeri untuk menyediakan unit-unit perumahan sebagai gantian kepada bumiputera Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata menerusi Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2013, jumlah wang terkumpul dalam Akaun Amanah Perumahan Bumiputera kerajaan Pulau Pinang ialah RM53.9 juta.

"Menurut laporan yang sama, sehingga 31 Dis 2013 tiada sebarang perbelanjaan dibuat menggunakan wang daripada akaun itu," katanya.

Beliau berkata wang terkumpul itu adalah perolehan daripada pelepasan lot-lot perumahan kuota bumiputera yang dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri.

Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang ditubuhkan pada September 2009 bertujuan mengakaunkan sumbangan kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, pemaju atau pihak lain.

Ia bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan aktiviti atau program yang berkaitan dengan pembelian atau pembangunan tanah, rumah, ruang komersial atau hartanah lain untuk manfaat penduduk bumiputera.

Mengenai diskaun bumiputera untuk unit-unit perumahan di Pulau Pinang, Zainal Abidin berkata JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan terus menawarkan diskaun lima peratus kepada golongan bumiputera bagi rumah-rumah dalam julat harga perumahan mampu milik biarpun harga yang ditawarkan sudah 20 peratus lebih murah daripada pasaran.

"Walaupun bukan polisi kerajaan negeri memberi diskaun kepada golongan bumiputera bagi rumah-rumah dalam kategori mampu milik, kami berharap pemaju swasta mengambil pendekatan memberi diskaun kepada pembeli bumiputera untuk menarik lebih ramai golongan itu membeli rumah yang dibekalkan pemaju swasta," katanya

-- BERNAMA

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger