Headlines News :
Home » » UCAPAN SAYA KAITKAN KELEMAHAN PENGUATKUASAAN ISU JUDI & MAKSIAT - ZAIDI

UCAPAN SAYA KAITKAN KELEMAHAN PENGUATKUASAAN ISU JUDI & MAKSIAT - ZAIDI




MINGGUAN: Adakah kenyataan terhadap lambakan pusat perjudian haram dan rumah maksiat itu hanya ‘menjurus’ kepada kaum Cina sahaja? 

MOHD. ZAIDI: Saya tidak mengatakan orang Cina kaya dengan aktiviti perjudian tetapi sebilangan besar kaum tersebut terlibat dalam kegiatan itu sama ada berlesen atau tidak. Mungkin Ketua Menteri Pulau Pinang boleh berkongsi maklumat bersama saya sekiranya terdapat orang Melayu yang menjalankan perniagaan itu secara haram atau sah.

 Dalam ucapan itu, saya kaitkan dengan kelemahan penguatkuasaan sehingga menyebabkan lambakan aktiviti sosial di negeri itu, sekali gus membawa kepada peningkatan jenayah apabila adanya kes ragut dan ugutan daripada ah long kesan daripada penambahan aktiviti itu. 


Datuk juga menyentuh soal pemimpin bermuka-muka? Apa yang hendak disampaikan? 

Pemimpin UMNO telah terlatih dengan sejarah yang kononnya pemimpin perlu mengikut cara hidup masyarakat di sesuatu kawasan. Itu gaya pemimpin dahulu. Tetapi kini, masyarakat mahu melihat seorang pemimpin yang menjadi diri sendiri dan tidak berlakon semata-mata berniat menarik sokongan rakyat. Pemimpin sekarang perlu memiliki semangat perjuangan tulen untuk membela nasib orang Melayu dan agama. 

Apakah yang dimaksudkan dengan peremajaan UMNO? Adakah ini bermakna perlu ada muka baharu yang lebih segar? 

Kita tidak bercakap soal umur, peremajaan perlulah dari segi cara pimpinan yang bermula dari bawah. Ahli akar umbi perlu menyedari sekiranya mereka merasakan pemimpin yang ada tidak sesuai atau tidak boleh berkhidmat perlu ditukar.

Begitu juga dengan pemimpin muda, jika mereka tidak relevan dalam perjuangan, mengapa perlu dipertahankan lagi. UMNO perlu kembali ke perjuangan asal untuk memaparkan jiwa sebenar perjuangan Melayu memandangkan parti itu telah lama ditubuhkan sehingga pelbagai inovasi dilakukan menyebabkan pentadbiran parti melencong daripada tujuan asal penubuhannya. 

Apakah yang sedang diusahakan oleh UMNO bagi menguasai kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh? 

Sebagai pemimpin tempatan, saya telah melaksanakan tugas dalam memberi bantuan kepada rakyat yang memerlukan, memastikan soal pendidikan anak-anak tempatan tidak terabai selain memberi perhatian terhadap soal keagamaan. Jadi, saya tidak melihat menga­pa UMNO tidak mampu menarik sokongan orang muda. Namun dalam masa sama pemimpin di pe­ringkat nasional juga perlu memainkan peranan yang selari dengan agenda untuk memperjuangkan kawasan itu. Walaupun sebelum ini, kita terpalit dengan masalah perpecahan, kepimpinan yang lemah dan pada ketika itu juga ahli-ahli tidak mempunyai motivasi untuk menentang pihak lawan, tetapi hari ini kita sudah berjaya mengharungi dan yakin akan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang. 

Bagaimana Datuk melihat perjalanan keseluruhan Perhimpunan Agung UMNO 2014 dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, sekali gus memberi harapan baharu kepada rakyat? 

Keputusan Presiden parti untuk mengekalkan Akta Hasutan adalah terbaik. Walaupun apa juga keputusan lain yang diambil pastinya tidak mampu menandingi keputusan tersebut. Saya yakin ia mampu mengembalikan sokongan rakyat walaupun masih ada pihak yang keliru. 
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger