MUHAMAD FARID SAAD
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, kekhuatiran itu ada asasnya berdasarkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di bahagian pulau negeri ini sejak kebelakangan ini.

Katanya, dalam kejadian banjir kilat di kawasan Air Putih minggu lalu, air banjir yang memenuhi kawasan jalan raya dan rumah penduduk didapati berwarna coklat pekat seperti warna tanah.

“Kita percaya air berwarna coklat ini datang daripada kawasan bukit berhampiran yang mungkin telah ditarah.


“Jadi, kita mahu siasatan menyeluruh dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian minggu lalu, kawasan sekitar Air Putih, Balik Pulau dilanda banjir kilat selepas hujan lebat.


Tambah Muhamad Farid, sebelum ini, masyarakat digemparkan dengan isu bukit botak di Bukit Gambir dengan kerja-kerja pembersihan tanah di puncak bukit itu jelas dapat dilihat kerana kawasannya terbuka.


“Kita tidak mahu ada kawasan bukit terselindung yang cuba diteroka pihak tertentu kerana jika dibiarkan, banyak masalah akan berlaku seperti banjir kilat dan mengganggu ekosistem,” ujarnya.

Menurut beliau, jika tiada langkah efisien diambil untuk membendung gejala penerokaan tanah di kawasan bukit di negeri ini, sudah tentu kejadian banjir kilat yang berlaku minggu lalu akan berulang.

“Akibat banjir itu, ada penduduk yang kerugian mencecah RM30,000 dan kerajaan negeri harus segera bertindak memastikan tiada penerokaan haram di kawasan bukit di negeri ini,” ujarnya.