KUALA LUMPUR: Pendekatan Umno yang mengamalkan ‘politic of service’ atau politik untuk perkhidmatan bagi menyelesaikan masalah rakyat adalah kekuatan parti yang tidak mampu ditandingi mana-mana parti pembangkang.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Umno menyediakan perkhidmatan yang terbaik dalam menyelesaikan setiap masalah kecil atau besar yang melibatkan dasar negara.
“We never say no, always say yes kepada setiap permintaan rakyat. Kita utamakan servis because this is our tradition, kekuatan Umno adalah servis,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berinteraksi bersama 240 pemimpin mahasiswa dari dalam dan luar negara pada sesi akhir Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) 2014.
Dalam sesi selama satu jam setengah itu, Khairy memulakan hujah dengan memberi penerangan kepada semua mahasiswa tentang apa makna politik dari sudut pandangannya menggunakan akronim ‘P.O.L.I.T.I.C.S’ sebagai isi ucapannya.
Menurut Khairy penglibatan dalam politik bagi mahasiswa perlu mempunyai elemen Passion, Organisation, Leadership, Integrity, Teamwork, Intelligence, Compassion dan Service.
Katanya, politik memerlukan semangat (passion) dari segi kekuatan dalam melakukan kerja dan perjuangan kerana ia merupakan kerjaya sepenuh masa yang tidak memberi ruang kepada ahlinya untuk melakukan kerja lain.
“Ini kerjaya yang memerlukan full time passion kerana kita sanggup buat berkorban masa, dan segala yang kita ada demi mencapai cita-cita kita dalam perjuangan,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu perlu tahu bagaimana untuk bertindak dengan kehendak akar umbi dan mesti mampu mendengar suara mereka.
“Anak muda hari ini lebih melihat kepada politics post modernism termasuk kos sara hidup dan apa yang kerajaan lakukan, maka mereka mengharapkan pemimpin yang berintegriti untuk membantu menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Beliau berkata, elemen “compassion” dalam politik juga penting iaitu membuat sesuatu yang menyentuh hati rakyat hingga mereka merasakan bahawa Umno bersama rakyat dalam apa jua situasi.
– BERNAMA
Post a Comment