Tindakan memfailkan semakan kehakiman yang diambil Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak melibatkan parti Pas.
Beliau yang juga Bendahari Pas negeri berkata, keputusan memfailkan semakan kehakiman itu dibuat bagi ‘memperbetulkan keadaan’ terhadap tindakan yang disifatkan beliau tidak adil oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang terhadapnya.
Menurut Iszuree, beliau yakin tindakan membawa kerajaan negeri ke mahkamah itu tidak akan menggugat kerjasama antara Pas dan DAP dalam pakatan pembangkang.
“Saya memfailkan semakan kehakiman ini bagi membersihkan nama saya yang tercemar akibat pembohongan yang dibawa oleh DAP selama ini.
“Saya juga yakin, Pas dan DAP masih mampu bergabung antara satu sama lain dalam pakatan pembangkang kerana tindakan ini adalah bersifat peribadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Iszuree menerusi peguamnya, Mohd. Harris Abdullah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi membatalkan surat yang dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri yang memecat beliau daripada jawatankuasa tetap MPPP.
Dalam permohonan itu beliau menamakan MMK negeri, MPPP dan Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Iszuree memohon supaya mahkamah membatalkan surat yang dikeluarkan oleh MPPP bertarikh 26 September dan keputusan
MMK pada 25 September yang memecatnya daripada semua jawatankuasa tetap MPPP serta membekukan semua peruntukannya.
Selain itu, mahkamah juga dipohon membatalkan surat MPPP bertarikh 29 September dan keputusan yang dibuat MMK yang memecatnya daripada semua jawatankuasa tetap, mesyuarat teknikal serta membekukan peruntukannya.
Post a Comment