BUTTERWORTH 6 Julai - Proses pembuangan sampah di negeri ini hampir lumpuh hari ini apabila satu-satunya pusat pelupusan sampah di Ampang Jajar di sini menghadapi masalah teknikal sehingga tidak dapat menampung beratus-ratus tan sampah dari sekitar pulau dan Seberang Perai.
Keadaan itu menimbulkan suasana kelam-kabut di pusat tersebut apabila berpuluh-puluh lori sampah terperangkap dalam kesesakan malah ada pemandu yang menunggu sejak pukul 9 malam semalam gara-gara tidak dapat membuang muatan masing-masing.
Utusan Malaysia difahamkan, masalah itu mengakibatkan kira-kira 500 tan metrik sampah dari sekitar pulau dan Seberang Perai tidak dapat dipungut atau dibawa ke pusat pelupusan itu hari ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk di banyak kawasan.
Untuk rekod, jumlah pembuangan sisa pepejal yang dijana penduduk dan pusat komersial di negeri ini dianggarkan mencecah dari 1,000 hingga 1,200 tan metrik sehari.
Sebelum ini, sampah dan sisa pepejal di bahagian pulau ditempatkan di tapak pelupusan Batu Maung dekat sini tetapi pusat tersebut ditutup sepenuhnya sejak semalam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang.
Ekoran itu, pusat pelupusan di Ampang Jajar yang dikendalikan syarikat kontraktor Eurasia Express Sdn. Bhd. (Eurasia) kini menjadi satu-satunya pusat pelupusan sampah sebelum sisa buangan yang sudah dileraikan dibawa ke Pulau Burung dekat sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar Negeri, Chow Koon Yeow yang tidak senang dengan perkembangan itu mengarahkan Eurasia menyelesaikan masalah itu selewat-lewatnya dua hari, tetapi syarikat tersebut menyifatkan tempoh tersebut terlalu singkat.
Koon Yeow pada sidang akhbar hari ini memberitahu, pihaknya sudah mengarahkan sebahagian sampah yang sepatutnya dilupuskan di pusat itu dibawa terus ke Pulau Burung sementara masalah teknikal tersebut diselesaikan.
"Pihak Eurasia akan menanggung sebahagian daripada kos kontraktor-kontraktor terlibat membawa sampah terus ke Pulau Burung termasuk kos tol dan minyak," katanya.
Ditanya mengenai masalah sejumlah besar sampah yang tidak dapat dipungut ekoran masalah itu, Koon Yeow berkata, ia akan dibincangkan antara Eurasia dan kontraktor terbabit.
Sementara itu, Pengarah Urusan Eurasia, Kenny Yeoh berkata, masalah itu berpunca akibat kerja-kerja menaik taraf pusat tersebut belum dapat disiapkan sepenuhnya sehingga pihaknya tidak bersedia menerima jumlah sampah yang begitu tinggi.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan, masalah itu akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya tujuh hari apabila fasa pertama kerja-kerja menaik taraf itu siap dalam masa terdekat.
"Kami meminta maaf kepada orang ramai serta kontraktor terbabit kerana masalah teknikal ini dan satu jawatankuasa dalaman sudah ditubuhkan bagi memastikan masalah ini diselesaikan secepat mungkin," tambahnya.
+ comments + 2 comments
Takkan pasal sampah pun tak boleh nak selesai... Pi rah...
masalah tranfer station.... siasat proses tender.
perancangan kerja.. perancangan tidak teratur dan tiada perancangan alternatif.. exco tau angguk je kot...kira cincai la tauke
kesian org bagan... dah la jem.. bau busuk plak.
Post a Comment