KEPALA BATAS - Adun Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man akan mengadakan pertemuan dengan Pas negeri bagi memberi penjelasan berhubung pendiriannya menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Mohd Salleh berkata beliau menerima segala keputusan yang akan dibuat oleh Pas negeri berhubung perkara itu.

Minggu lepas, beliau mengadakan pertemuan dengan Pas Permatang Pauh, dan Ahad lepas Pas kawasan itu mengumumkan untuk memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh berikutan kenyataannya yang jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui DAP dan bertentangan dengan pendirian Pas pusat.

Mohd Salleh, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), berkata beliau akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan sehingga tamat tempoh, termasuk sebagai YDP MAIPP.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembayaran saguhati guru agama dan guru al-Quran 2015 kepada 2,652 guru agama dan guru al-Quran di Pulau Pinang membabitkan agihan zakat sebanyak RM1.59 juta.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata MAIPP dengan kerjasama Yayasan Islam Pulau Pinang akan membina sebuah hospital Islam swasta yang mesra syariah di Bayan Baru tahun depan.
Beliau berkata kos keseluruhan hospital di atas tanah wakaf milik MAIPP itu dianggar bernilai RM200 juta membabitkan dua blok bangunan. - Bernama