Headlines News :
Home » » SPRM BIDAS GUAN ENG TUDUH TAK SIASAT LAPORAN AUDIT 2012

SPRM BIDAS GUAN ENG TUDUH TAK SIASAT LAPORAN AUDIT 2012




KUALA LUMPUR 5 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa suruhanjaya itu tidak mengambil tindakan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Sambil menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali, SPRM dalam satu kenyataan di sini, hari ini meminta Guan Eng meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu serta Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang dikeluarkan sebelum ini.


"Kedua-dua dokumen itu turut memperincikan tindakan yang telah diambil oleh SPRM ke atas isu-isu berkaitan Laporan Audit Negara. Kenyataan SPRM, laporan tahunan SPRM serta JKMR yang dianggotai ahli-ahli Parlimen sendiri menunjukkan SPRM telah mengambil tindakan wajar secara bebas, telus dan profesional terhadap laporan audit berkenaan.


"Sekurang-kurangnya 15 perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2012 telah pun dibuka kertas siasatan dan sedang disiasat. Tindakan yang diambil, sama ada tuduhan di mahkamah atau khidmat nasihat dimaklumkan kepada JKMR dan Panel Penilaian Operasi (PPO) dari masa ke semasa," kata kenyataan itu.

Guan Eng sebelum ini mendakwa tiada tindakan diambil SPRM dalam isu dakwaan pembaziran wang rakyat melibatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti dibentangkan pada Laporan Audit Negara 2012.

Kenyataan SPRM itu seterusnya menegaskan, JKMR, badan bebas yang memantau SPRM sejak 2009 turut dianggotai wakil DAP iaitu Dr. Tan Seng Giaw dan Guan Eng boleh merujuk kepadanya jika memerlukan maklumat lanjut mengenai status kes dan tindakan diambil suruhanjaya itu terhadap laporan audit berkenaan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa kita menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009 dan tidak bertanggungjawab terhadap laporan media yang memetik sumber dan tidak berasas," kata kenyataan berkenaan.

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger