Parti GERAKAN Pulau Pinang menyimpulkan kerajaan Pakatan Rakyat hanya memiliki polisi pentadbiran jangka pendek selain barisan kepimpinan yang sering tidak sependapat dalam pelbagai perkara.
Naib Ketua Pemudanya, H'ng Khoon Leng berkata isu penarikan balik larangan garis panduan persembahan sempena Tahun Baru Cina oleh kerajaan negeri Kedah baru-baru ini sebagai contoh kecelaruan kerajaan pembangkang dalam membuat keputusan yang melibatkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
"Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini sebenarnya tidak serasi. Lain-lain haluan. Tapi satu haluan satukan mereka hanya satu, iaitu Putrajaya. Tiap-tiap ceramah, (mahu ambil) Putrajaya... Terlalu gilakan kuasa.
"Kalau anda parti yang gilakan kuasa, akhirnya ia akan lakukan apa pun yang perlu dibuat untuk mencapai cita-cita politiknya. Itu sebab sekarang kita menghadapi masalah..Di negeri-negeri (naungan PR), terutama Pulau Pinang, bagi saya lah, bukan polisi jangka panjang. Polisi mereka polisi jangka pendek," kata beliau semasa menghadiri Wacana Meja Bulat anjuran Antarapos.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak melalui satu kenyataan yang dihantar kepada Antarapos dipetik berkata, program terbabit boleh diteruskan dan penganjur hendaklah memastikan setiap peserta terbabit dalam persembahan pentas sama ada lelaki atau perempuan (kanak-kanak dan dewasa) mesti berpakaian sopan dan tidak menjolok mata.
Ini sekali gus bertentangan dengan garis panduan yang diumumkan Exco Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib yang mengharamkan persembahan penyanyi wanita profesional di mana-mana pusat membeli-belah atau lain-lain tempat awam, melainkan pelajar sekolah.
Terdahulu, kerajaan PAS di Kelantan dikritik kerana mengenakan saman kepada pengusaha salun rambut yang membenarkan pendandan rambut wanita bukan Islam memberi khidmat kepada pelanggan lelaki yang juga bukan Islam.
Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) turut mengeluarkan saman kepada pasangan bukan Islam di bawah undang-undang kecil taman kerana didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
Tindakan tersebut dikaitkan dengan usaha kerajaan PAS untuk mengimplimentasikan undang-undang hudud.
Beri peluang kepada BN
Dalam perkembangan lain, Khoon Leng meminta rakyat Pulau Pinang mengembalikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) sekiranya mahu melihat negeri tersebut 'bertukar wajah'.
Katanya, kerajaan BN Pulau Pinang sedang dalam usaha melakukan beberapa perubahan, khususnya membabitkan polisi dalam usaha membela rakyat, seterusnya mendapatkan kembali kepercayaan mereka dalam menerajui negeri tersebut.
"Polisi ini kita perlu betulkan...bila kita betulkan dan kita uar-uarkan kepada rakyat, kita sampaikan (pada) PRU13, mungkin rakyat akan memberi peluang kepada BN.
"Polisi yang sekarang penting di Pulau Pinang ialah polisi perumahan, warisan, ekonomi...tapi saya rasa perlu satu polisi yang boleh mentransformasikan Pulau Pinang. Kita tidak boleh menggunakan polisi yang umum, hanya sekadar polisi di peringkat BN pusat, (tapi) perlu ada polisi, manifesto BN negeri yang boleh mentransformasikan Pulau Pinang dalam tempoh bagi saya, 10 tahun.
"Bererti dalam 10 tahun di bawah BN Pulau Pinang, Pulau Pinang akan berubah wajah, tapi bukan cara yang dikehendaki Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang..KM Pulau Pinang caranya 'jadikan Pulau Pinang satu bandaraya antarabangsa'...Saya rasa itu bukan yang dikehendaki rakyat Pulau Pinang," katanya.
Wacana Meja Bulat yang membahaskan topik PRU 13 dan Politik Kebencian itu turut disertai bekas Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), Dr Kassim Ahmad dan juga aktivis Warisan Pulau Pinang, Mohamad Salleh Yahya.
Tambahnya, kerajaan BN Pulau Pinang sedaya upaya cuba menangani isu yang membelit rakyat, dan hasilnya, sokongan yang diperoleh semakin meningkat.
Ini katanya, merupakan satu petunjuk bahawa rakyat negeri tersebut sedikit sebanyak telah 'menyedari' permainan kerajaan Pakatan Rakyat dan mula menyebelahi BN.
"Sokongan orang-orang Melayu kepada BN sudah pastinya meningkat...Tapi terdapat isu-isu tertentu, isu khusus yang dihadapi orang Melayu yang BN mesti tangani dan rancang untuk memenangi rakyat Melayu di Pulau Pinang.
"Untuk kaum lain, misalnya kaum India pun, selepas isu Kampung Buah Pala, kembali memberi sokongan kepada BN. Untuk kaum Cina, kami nampak ada perubahan. Perubahan itu lebih lambat kerana isu-isu dan gimik-gimik yang dimainkan oleh PR di Pulau Pinang.
"Saya rasa mereka (PR) bijak memainkan isu sentimen perkauman, keagamaan, dan mereka juga pandai membuat 'packaging' (iaitu) pemasaran dari segi pencapaian yang bukan mereka (buat). Misalnya peningkatan dari segi pelancongan, industri..yang sebahagian besarnya (dilakukan) oleh kerajaan BN, tapi mereka ambil kredit," ujar beliau.
Post a Comment