Headlines News :
Home » » Simbah cat : BN P.Pinang dakwa serangan bermotifkan politik

Simbah cat : BN P.Pinang dakwa serangan bermotifkan politik



GEORGETOWN - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk amalan politik yang menjurus ke arah keganasan.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata, pihaknya bimbang amalan sedemikian akan menular sehingga menyebabkan kecederaan kepada individu dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

"Perbuatan menakut-nakutkan orang dengan merosakkan harta milik persendirian tidak mencerminkan budaya politik Malaysia namun kebelakangan ini ia menjadi begitu popular... dulu mereka hanya buat pada harta milik parti sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden kereta Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong disimbah cat merah manakala cermin bahagian depan dan belakang dipecahkan individu tidak dikenali petang semalam. 

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta pejabat Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Penang Free, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 3.10 petang ketika Tong Keong sedang berbincang mengenai program parti di sebuah restoran berhampiran bersama dua rakannya.

Chang Yeow berkata, perbuatan itu jelas bermotifkan politik kerana setelah diselidik dengan teliti, Tong Keong tidak pernah bermusuh dengan sesiapa termasuk dalam urusan perniagaan peribadinya.

"Mungkin ia ada kaitan dengan pembongkaran beberapa isu yang berlaku di negeri ini. Bagaimanapun kita tidak menuduh mana-mana pihak kerana perbuatan itu boleh dilakukan sesiapa sahaja," katanya
.

Rabu lepas, Tong Keong mengetuai beberapa pemimpin komponen Pemuda BN negeri menyerahkan wang berjumlah RM224,073 kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membeli tanah Taman Manggis dekat Jalan Zainal Abidin  bagi dimajukan dengan projek rumah rakyat miskin.

Pada hari berikutnya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta baki bayaran berjumlah RM22,183,227 dijelaskan BN dalam tempoh 30 hari bagi menyelesaikan proses jual beli tanah seluas 0.445 hektar itu.

Pada 7 September lepas, bahagian hadapan trak serbaguna BN negeri yang diletakkan di pekarangan Ibu Pejabat Gerakan di Jalan Macalister turut disimbah cat merah diikuti dengan insiden pintu hadapan Pusat Khidmat  Parti Gerakan Pulau Tikus dibaling beberapa biji telur dan disimbah air kopi pada 17 Sept. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger