BUTTERWORTH 20 Julai - Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan mendakwa 547 perwakilan 'haram' yang dibawa masuk ke dalam mesyuarat pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu diarahkan mengundi enam nama utama dalam senarai calon CEC.
Menurutnya, enam calon terpilih itu ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Chong Chieng Jin, Anthony Loke Siew Fook dan Vincent Wu Him Ven.
Kata Asoghan, baki 14 lagi daripada 20 jawatan dalam CEC itu boleh dipilih daripada hampir 50 nama yang dikeluarkan.
"547 perwakilan 'haram' yang kebanyakannya dari Pulau Pinang itu diwajibkan memilih enam nama utama itu sebelum memilih 14 lagi yang disukai mereka daripada senarai hampir 50 nama calon CEC.
"Saya yakin undi yang dibuat oleh perwakilan haram itu adalah bagi memastikan Dinasti Lim terus berkuasa dalam DAP," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Asoghan, perwakilan 'haram ' itu mungkin hadir sebagai pemerhati pada Kongres Tahunan DAP itu namun diberi keistimewaan untuk menjadi pengundi pada pemilihan CEC.
Selain itu tambahnya, dia masih menunggu senarai nama perwakilan yang telah mengundi pada pemilihan CEC Disember lalu daripada Guan Eng dan Setiausaha Organisasi, Anthony Loke.
"Kenapa mereka takut nak beri senarai itu terutama kepada 'lima harimau' dalam DAP iaitu Teng Chang Khim, Boo Cheng Hai, Chow Kon Yeow, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.
"Ahli-ahli DAP mahukan jawapan kepada setiap dakwaan yang berlaku dalam parti itu dan didedahkan kepada semua ahli," ujarnya.
Dalam pada itu Asoghan turut menunjukkan buku bertajuk Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) susunan Father Augustus Chen yang diterimanya dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan bahasa Tamil semalam.
Katanya, segala dakwaan yang didedahkan mengenai kepincangan CEC diulas dengan teliti oleh penyusun buku tersebut yang dikirimkan kepadanya melalui pos
Post a Comment