Headlines News :
Home » » SEMUT PANTAU KOMEN SENSITIF DI LAMAN MEDIA SOSIAL

SEMUT PANTAU KOMEN SENSITIF DI LAMAN MEDIA SOSIAL





KUALA LUMPUR 20 Julai - Fikir habis-habis sebelum keluarkan komen sensitif mengenai kaum, agama dan kedudukan raja pada laman media sosial kerana anda sedang diperhati.
Menamakan diri mereka sebagai Semut - 'Sensible and Ethical Malaysians United Troopers' (tentera siber yang beretika), kumpulan sukarelawan ini memantau laman media sosial bagi mengesan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

"Sukarelawan ini akan menyalurkan maklumat termasuk 'screenshot'. Kemudian kita akan teliti maklumat itu dan buat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat," kata penyelaras Semut Huan Cheng Guan (gambar) kepada Bernama.

Katanya, kebanyakan sukarelawan adalah pengamal media sosial yang menentang mereka yang menjadikan laman sosial termasuk Facebook sebagai saluran menghina atau menyentuh sensitiviti orang lain.

"Apa yang sukarelawan ini mahu ialah masyarakat menjadikan media sosial sebagai saluran interaksi yang positif untuk membina persahabatan dan rangkaian kerja, bukan mengutuk, menghina atau mengeluarkan kenyataan tidak sensitif sehingga menyakiti hati orang lain," katanya.

Huan berkata, ramai pengamal media sosial tidak faham mereka harus bertanggungjawab terhadap komen yang mereka keluarkan pada laman sosial sendiri atau milik orang lain.
"Benar anda boleh paparkan apa sahaja pada laman FB (Facebook), akan tetapi anda juga harus faham anda bertanggungjawab pada komen itu. Cara terbaik untuk mengelak daripada berdepan masalah ialah berhati-hati dengan kenyataan yang anda tulis," katanya.

Setakat ini Semut membuat dua laporan polis terhadap dua pengguna Facebook yang dikatakan mengeluarkan komen sensitif mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Nabi Muhammad.

"Walaupun kami tidak dapat kenal pasti identiti mereka, kami berharap dengan laporan polis dan penyaluran maklumat itu, pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.— BERNAMA

Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger