Headlines News :
Home » » Akibat desakan wartawan, kerajaan DAP terpaksa pecat ahli PPS

Akibat desakan wartawan, kerajaan DAP terpaksa pecat ahli PPS



GEORGETOWN - Kerajaan negeri hari ini membuat keputusan memecat seorang anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Lim Ah Chye setelah didapati bersalah memukul seorang wartawan akhbar berbahasa Cina pada 30 Disember lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata keputusan itu dibuat setelah menerima desakan Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Media Cina (Pewaju) Pulau Pinang yang mahukan Lim dipecat.

"Itulah keputusan Exco selepas perbincangan, pertimbangan dan satu keputusan telah dibuat (pecat keanggotaan)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

PPS ialah sebuah pasukan peronda sukarela yang ditubuhkan kerajaan negeri pakatan pembangkang dan dilancarkan pada 17 Sept 2011, bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang aspek keselamatan selain membantu polis melakukan rondaan.

Dalam kejadian 30 Disember lepas, wartawan akhbar Guan Ming Daily, Ang Kean Siang, 32, cedera selepas dipukul anggota PPS ketika membuat liputan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak di sini.

Dalam kejadian itu, kameranya turut dirosakkan lelaki terbabit yang tidak berpuas hati kerana merakam gambar seorang wanita yang ditemui mati, dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri.

Ekoran kejadian itu kerajaan negeri menubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat insiden berkenaan.

Dua hari lepas panel khas itu telah menjatuhi hukuman menggantung keanggotaan Lim, 52, sebagai anggota PPS cawangan Jalan Makloom selama tiga bulan.

Keputusan itu mengundang kemarahan sekumpulan wartawan akhbar Cina termasuk wakil Pewaju dan menyifatkan hukuman itu sebagai tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Phee berkata, beliau turut menerima memorandum daripada Pewaju pagi tadi yang meminta kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan panel siasatan berhubung insiden itu.  - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger