Datuk Seri Najib Razak menutup tirai Perhimpunan Agung UMNO Ke-63 semalam dengan suntikan semangat kepada ahli UMNO supaya bersatu bagi memenangi Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) dan meminta rakyat menolak pakatan PAS-PKR-DAP.
Presiden UMNO yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang besar jika ahli parti bersatu dan tidak bersengketa serta menyokong penuh siapa saja yang dipilih menjadi calon.
Dalam ucapannya, Najib menggariskan pentingnya undi diberikan kepada BN jika rakyat tidak mahu melihat negara diporakperandakan.
Menurut Najib, semangat dan sambutan terhadap UMNO kali ini amat luar biasa di kalangan ahli, manakala orang Melayu keseluruhannya melihat UMNO pulih dan mampu memimpin negara walaupun difitnah pembangkang.
Kepada rakyat, khususnya ahli dan penyokong UMNO, Najib bertanya sama ada mereka mahu akidah umat Islam sesat, masa depan gelap dan negara menjadi porak-peranda.
Justeru, beliau mengajak ahli parti dan rakyat bersama-sama UMNO dan BN bersatu menentang fitnah PAS, pluralisme PKR dan perkauman DAP.
Pada akhir ucapan selama 50 minit itu, Najib mengajak ahli UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan mereka yang menonton siaran langsung menerusi televisyen, menggenggam tangan kanan dan meletakkannya di dada sambil berikrar untuk mempertahankan negara daripada dihancurkan pembangkang.
Post a Comment