Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menggariskan tujuh rukun kemenangan untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Rukun berkenaan ialah patuh kepada pemimpin, strategi yang tepat, fahami peranan dan tanggungjawab, kenali musuh, kukuhkan perpaduan, sentiasa bersiapsiaga dan berjuang habis-habisan.
Tujuh rukun itu dinyatakan Timbalan Presiden UMNO dalam ucapan penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC, semalam.
‘Peperangan getir’
Katanya, tujuh rukun itu yang akan disebarkan kepada setiap pemimpin dan ahli adalah amat penting kerana ‘peperangan’ yang akan dihadapi nanti adalah sangat getir.
Memperincikan rukun itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap pemimpin dan ahli parti perlu taat dan setia serta melaksanakan keputusan dibuat pemimpin parti.
Antara lain, ia membabitkan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan, soal pemilihan calon dan kawasan pilihan raya yang ditetapkan untuk semua parti komponen.
“Bila mahu mencapai kemenangan besar, kita perlu laksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut panduan ditetapkan. Prinsip ini juga dinyatakan dalam al-Quran iaitu kami dengar dan kami patuh sebagai bukti beriman kepada Allah SWT,” katanya.
Mengenai strategi yang tepat, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan peringkat kepemimpinan negeri ketika beliau turun padang ke seluruh negara.
“Apa yang penting ialah pertahankan segala kekuatan yang ada dengan menentukan kemenangan negeri dan kawasan yang dimiliki BN, selain merampas kawasan yang jatuh ke tangan pembangkang.
Kenali musuh
“Apa yang penting, apa juga keputusan dibuat pada peringkat nasional, diterjemahkan dalam bentuk tindakan berkesan oleh pemimpin negeri, bahagian dan cawangan,” katanya.
Muhyiddin berkata, parti percaya semua ahli sudah memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menghadapi cabaran hebat pakatan pembangkang, selain sudah mengenali siapa musuh yang bakal dihadapi dalam pilihan raya nanti iaitu PAS, PKR dan DAP.
“Selain kenali musuh atas nama, kita juga tahu gerakan mereka di setiap peringkat. Jadi, kita kena perhatikan dan jangan biarkan mereka tembusi kawasan kita dengan memperkukuhkan kubu kita,” katanya.
Muhyiddin juga menyatakan penghargaan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana memberi kepercayaan kepadanya sepanjang masa membantu Perdana Menteri dalam urusan negara dan parti.
“Ini sesuatu yang saya amat sanjung tinggi dan hargai,” katanya.
Post a Comment