Tempoh 30 hari yang diberikan kepada Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk melunaskan bayaran baki pembelian tanah di Taman Manggis di sini menunjukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak ikhlas untuk membantu rakyat miskin memiliki rumah sendiri.
Timbalan Ketua Pemuda BN negeri, Shaik Hussein Mydin berkata, Guan Eng jelas enggan menjual tanah tersebut dengan menetapkan syarat yang tidak munasabah sedangkan pihaknya telah menunjukkan kesungguhan dengan membayar wang pendahuluan sebanyak satu peratus.
Menurutnya, tempoh 30 hari yang tidak munasabah itu sebenarnya memberi peluang kepada Pemuda BN mengesyaki bahawa Guan Eng mempunyai kepentingan dengan pembeli tapak tanah berkenaan, iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC).
"Tidak mungkin Guan Eng tidak tahu prosedur (jual-beli tanah)? Ini bukan tanah Lim Kit Siang (bapa Guan Eng), ini tanah kerajaan negeri, tanah rakyat.
"Mana boleh sesuka hati buat keputusan. Mana minit mesyuarat kerajaan negeri yang meluluskan penjualan tanah itu?
"Ini menunjukkan Guan Eng memang tidak mahu jual tanah tersebut. Bila kita tunjukkan kesungguhan, dia pula buat cerita kartun suruh kita bayar penuh dalam 30 hari," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong.
Semalam, Guan Eng menerusi setiausaha politiknya, Ng Wei Aik memberi tempoh 30 hari kepada Pemuda BN negeri untuk menyelesaikan bayaran baki bagi pembelian tanah di Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini.
Pemuda BN negeri kelmarin membayar wang pendahuluan secara tunai sebanyak RM222,073 untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar itu bagi menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan pemaju swasta.
Tanah berkenaan sepatutnya dibina fasa kedua projek perumahan rakyat (PPR) namun dijual oleh kerajaan negeri kepada KLIDC bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.
Pada 4 September lalu, Pemuda BN negeri menerima surat tawaran untuk membeli tanah itu daripada kerajaan DAP Pulau Pinang dengan harga jualan RM450 sekaki persegi.
Shaik Hussein menambah, berbeza dengan apa yang dialami pihaknya, pemaju swasta pula diberi keistimewaan dan kelonggaran dalam urusan jual-beli tanah milik kerajaan DAP Pulau Pinang.
Post a Comment