PERMATANG PASIR – Masih ingatkah anda kepada Mohd Azizi Khalib, remaja yang dibuang separuh tempurung kepalanya selepas terlibat dalam kemalangan pada Mac 2009 lalu di Bukit Teh?
Kisahnya pernah disiarkan beberapa kali di akhbar ini bermula dari penderitaan yang dialami, kepayahan keluarganya mengharungi dugaan sehinggalah bantuan bertali arus diterima, pembedahan memasang tempurung kepala dan terakhir Mei tahun lalu mengenai perkembangan kesihatannya.
Namun, selepas lebih dua tahun berlalu, Azizi yang kini berusia 19 tahun menghadapi masalah apabila tempurung kepala yang dipasang tidak lagi berfungsi, selain mengecut menyebabkan dia sering mengadu sakit kepala.
Ibunya, Roslina Che Ros, 41, berkata, doktor mengesahkan mengenai perkara itu kira-kira setahun lalu, dan kini pembedahan kali ketiga diperlukan bagi memasang tempurung baru.
Bagaimanapun, menurutnya, kos yang diperlukan amat tinggi menyebabkan dia dan suami, Khalib Yahaya, 47, terpaksa menangguhkannya dahulu.
“Ketika membuat pemeriksaan susulan di Hospital Pulau Pinang Jun lalu, doktor ada meminta RM2,000 sebagai pendahuluan untuk pembedahan, tetapi, saya minta tangguh lagi kerana tidak mempunyai wang yang cukup.
“Jika saya membayar wang pendahuluan itu sekali pun, kos sebenar pembedahan masih belum diketahui kerana doktor perlu melihat jenis dan berapa besar tempurung yang diperlukan untuk dipasang ke kepala Azizi., katanya.
Roslina sekeluarga ditemui ketika menerima kunjungan Pemuda Umno Permatang Pauh di kediaman barunya yang dibina di bawah projek Risda dekat Kampung Petani, di sini, semalam.
Ibu kepada cahaya mata ini berkata, pemeriksaan seterusnya bagi melihat perkembangan kepala Azizi akan dibuat 12 September ini.
Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh, Mohd Zaidi Said dalam pada itu berkata, pihaknya akan menyerahkan RM2,000 kepada keluarga berkenaan sebagai wang pendahuluan untuk pembedahan remaja terbabit.
Di samping itu, pihaknya akan turut membantu mencari dana bagi menampung kos pembedahan berkenaan.
Post a Comment