Oleh - Haji Ramlan Haji Husain
Nasib yang menimpa orang Melayu di Pulau Pinang perlu dijadikan pengajaran pemimpin Melayu Pakatan Rakyat. Perjuangan terhadap agama dan bangsa mesti diutamakan bukan diremehkan. Jangan jadi bisu mempertahankan agama dan buta membela maruah bangsa. Sedarlah pemimpin agar tidak terus bersifat kuda tunggangan dan lembu dicucuk hidung semata-mata menjaga hati rakan pakatan sehingga maruah agama dan bangsa di tanah air sendiri tergadai.
Kebelakangan ini semakin kuat kedengaran cerita mengenai strategi terancang digerakkan Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP untuk meminggirkan penduduk Melayu di bahagian pulau ke tanah seberang. Strategi terancang ini sebenarnya sudah lama kedengaran. Kita boleh lihat dengan nasib penduduk Melayu di Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong yang sudah berusia hampir 100 tahun kini beralih tangan apabila diserahkan kepada pemaju perumahan yang akan membangunkan kampung itu dengan projek rumah mewah yang tidak mungkin mampu dimiliki orang Melayu Pulau Pinang. Jika ada pun, jumlahnya boleh dikira dengan jari.
Tindakan ini mendukacitakan. Belum pun berkuasa penuh, penduduk Melayu di bahagian pulau negeri itu mula dihalau keluar dari kampung masing-masing. Lebih menyakitkan, penduduk diberi rumah kos rendah tidak setimpal harganya dengan tanah yang tergadai itu. Tindakan ini tidak berhenti setakat ini sahaja. Kini giliran penduduk Melayu di Balik Pulau (penempatan Melayu terbesar) pula bakal menerima nasib sama.
Jika mahu mempertahankan kawasan majoriti Melayu, Balik Pulau ialah banteng terakhir kaum Melayu Pulau Pinang. Jangan biarkan ia menjadi seperti Geylang atau Kampung Gelam di Singapura. Alasan kononnya untuk membina institusi pengajian tinggi dari Singapura adalah tidak rasional kerana di Balik Pulau sudah ada UiTM. Perancangan ini mungkin ada udang di sebalik batu. Apa yang jelas, penduduk Melayu di Kampung Genting dan Pondok Upeh terpaksa keluar dan kedua-dua kampung ini dikuburkan bagi memberi laluan projek dirancang.
Di manakah pemimpin Melayu dalam Kerajaan Pulau Pinang? Mereka ini sepatutnya tampil dan membela nasib penduduk Melayu - satu bangsa dan agama yang tertindas ini. Hakikatnya pemimpin Melayu ini berterusan biarkan diri diperguna oleh DAP. Kita tidak boleh mengharapkan pemimpin seperti ini. Kini, menjadi tugas, amanah dan tanggungjawab setiap penduduk dan pemimpin Melayu dari seluruh pelosok negara untuk mempertahankan hak milik kaum Melayu Pulau Pinang yang dari sehari ke sehari, semakin banyak dirampas daripada mereka.
Jelaslah strategi dirancang, biarlah semua penduduk Melayu berpindah dan bermastautin di Seberang Prai serta bahagian pulau untuk penduduk Cina. Maka, akan muncullah sebuah negara baru di dalam sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Rahsia permulaan ke arah ini didedahkan Ahli Parlimen Bebas Kulim/Bandar Baru, baru-baru ini mengenai satu perjanjian rahsia antara DAP dan PKR, iaitu DAP akan memiliki kuasa autonomi terhadap Pulau Pinang sekiranya pakatan ambil alih Kerajaan Persekutuan. Apakah majoriti rakyat negara ini mahu melihat satu kuasa autonomi muncul dalam negara Malaysia?
Justeru, segala usaha perlu dilakukan untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari jatuh ke tangan pihak yang memperjuangkan satu kaum, sedangkan Malaysia didiami penduduk berbilang kaum.
Perjuangan memenangkan satu kaum tidak akan ke mana, malah hanya akan mencetuskan huru-hara dan memusnahkan keharmonian, kedamaian dan kedaulatan sesebuah negara.
Maka perjuangan pertahan hak milik Melayu Pulau Pinang kini mesti dilaksanakan dari sekarang dan biarlah berputih tulang, tetapi jangan berputih mata. Jika tidak, kaum Melayu Pulau Pinang akan tinggal dalam lipatan sejarah sebagai satu kaum yang pernah memiliki tanah di bahagian pulau di Pulau Pinang. Renung dan fikirlah dengan nasib orang Melayu di Singapura!
sumber:
sinar harian
Post a Comment