Wakilnya yang juga ahli Badan Bertindak Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Nordin berkata, sehingga kini tiada perkembangan lanjut berhubung hasil siasatan kes itu meskipun lebih 30 laporan polis dibuat pelbagai pihak terhadap Guan Eng.

Malah tambah beliau, pihaknya turut tertanya-tanya sama ada Guan Eng sudah ditahan atau dipanggil untuk membantu siasatan memandangkan kes itu boleh diklasifikan sebagai serius kerana membabitkan kegusaran dalam kalangan orang awam.

“Kenyataan Guan Eng itu sangat serius dan jelas menyalahi Seksyen 297A dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.

“Jadi kita tertanya-tanya mengapa tiada perkembangan lanjut daripada pihak polis berhubung hasil siasatan kes ini dan kita berharap beroleh jawapannya dalam tempoh seminggu ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng seperti dilaporkan beberapa portal berita pada 12 Disember lalu didakwa memberi kebenaran kepada orang bukan Islam di negeri ini menggunakan kalimah Allah.
Beliau dilaporkan berkata, larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam kerana penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.

Menurut Mohamed Hafiz, pihak polis bertindak pantas menahan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen yang mempertikai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini namun lambat bertindak dalam kes membabitkan Guan Eng tersebut.