Malah, parti itu kini memiliki satu kriteria baharu untuk memilih calon yang akan melalui proses tapisan yang lebih ketat serta melepasi kaji selidik yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sistem itu ternyata berjaya dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, Sela­ngor dan Kuala Kangsar, Perak sebelum ini.
Katanya, senarai nama calon yang dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO akan diteliti me­lalui satu kajian penerimaan rakyat bagi mencari mereka yang popular di sesuatu kawasan itu.

“Sekarang tiada lagi tempat untuk ‘kaki bodek’ dan calon ‘payung terjun’ untuk menjadi wakil UMNO dalam pilihan raya yang hanya mencari pengaruh untuk diri sendiri.

“Kita buat pembaharuan de­ngan mencari mereka yang popular serta diterima oleh rakyat di sesuatu kawasan itu yang akan bertanding membawa nama UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abdul Rahim.

Tambahnya, rakyat memiliki ‘suara’ untuk menentukan calon kerana apabila ditanya mereka mahukan seseorang yang dikenali oleh rakyat.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai cabaran yang bakal dihadapi dalam PRU akan datang, Khairy berkata, pilihan raya itu mungkin yang paling sengit dan sukar namun UMNO sentiasa bersedia menghadapinya.
“Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah ketidakstabilan ekonomi negara dan dunia serta ancaman keselamatan yang tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya