Penduduk di kawasan Parlimen Permatang Pauh memerlukan seorang wakil rakyat anak tempatan bagi memastikan segala permasalahan rakyat mendapat perhatian sepenuhnya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata banyak faedah dan manfaat jika Anggota Parlimen Permatang Pauh adalah anak jati kawasan itu, kerana lebih memahami masalah rakyat setempat.
Katanya calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin sebagai anak jati Permatang Pauh sudah pasti mempunyai banyak masa untuk berkhidmat kepada penduduk Permatang Pauh, berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang bukan berasal dari Permatang Pauh.
"Secara rasional berilah peluang kepada anak tempatan, boleh bekerja dan boleh selalu berjumpa rakyat di Permatang Pauh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra dan Kenduri Sekampung Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pertama dan Kampung Belah Dua di Markas PDM Kampung Pertama di sini lewat malam tadi.
Katanya sudah 17 tahun kawasan Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan dalam soal pembangunan kawasan Parlimen itu.
Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata penduduk Permatang Pauh sepatutnya memilih wakil rakyat mewakili parti yang membentuk kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat dilakukan dan rakyat dapat dibantu.
"Rakyat memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan. Besar manfaatnya kepada penduduk Permatang Pauh jika memilih wakil daripada parti yang menguasai kerajaan Persekutuan," katanya.
Katanya Sabah pernah merasai pengalaman pahit diperintah parti pembangkang yang menyebabkan negeri itu tertinggal dalam soal pembangunan dan menyebabkan rakyat menderita.
"Tiada pembangunan di Sabah ketika itu kerana tiadanya hubungan yang baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Ini kami alami sendiri. Apabila Sabah balik kepada BN, pembangunan pesat berlaku berikutan peruntukan besar daripada Pusat.
"Ini kelebihannya ada hubungan baik dengan Pusat. Ini telah kami rasai. Jika kita sama-sama BN, kita boleh berbincang, bertukar-tukar pandangan bagaimana hendak majukan rakyat, dan minta apa yang kita perlukan. Ini pentingnya Permatang Pauh diwakili BN," katanya.
PRK Permatang Pauh 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Post a Comment