Pelantikan sebuah syarikat Singapura, Surbana Corp Pte Ltd sebagai jururunding bagi projek perumahan awam di Pulau Pinang adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para jururunding yang mempunyai tahap profesionalisme dan kepakaran dalam hal terbabit.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir membidas tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP yang berbuat demikian sebagai bukti bahawa mereka ini tidak pernah mempunyai kepercayaan kepada rakyat Malaysia.
“Berapa banyak pakar perunding yang ada di negara kita termasuk Pulau Pinang sendiri sehinggakan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sanggup melantik perunding dari luar lantaran lebih mempercayai mereka daripada rakyatnya sendiri. Inikah pemimpin yang dapat membela rakyat?”
Soal beliau lagi, adakah semua pakar tempatan tidak layak dan tidak mampu untuk melaksanakan tugasan bagi pembinaan projek perumahan tempatan yang bukan kali pertama dibina di negara ini.
“Saya tak tahu dari segi apa dia membuat penilaian terhadap para perunding atau membuat perbandingan antara orang tempatan dan syarikat asing terbabit sedangkan jika mahu dilihat antara Malaysia dan Singapura, negara kita sudah banyak ‘rumah kotak’ yang dinilai sendiri oleh orang tempatan,” katanya kepada UMNO-Online.
Jelas beliau lagi, apabila orang asing yang dilantik sebagai perunding maka tentulah pelbagai permasalahan timbul sebagaimana persoalan yang gagal dijelaskan oleh Guan Eng sama ada berkaitan lokasi, tempoh pembinaan, kos dan harga perumahan awam.
“Nama dah syarikat asing jadi tentunya mereka adalah orang asing yang tidak tahu apa-apa berkenaan negara kita apatah lagi kehendak rakyat tempatan. Mereka ini tak tahu apa yang kita mahu dan setakat mana kemampuan kita,” tambahnya.
Tegas beliau, dengan penghinaan sedemikian maka tentunya rakyat tahu membuat penilaian berkaitan kepimpinan kerajaan DAP yang sememangnya memandang rendah kepada rakyat Malaysia.
Sebelum ini, Guan Eng telah mengumumkan berkaitan projek perumahan rakyat sembilan hingga 20 tingkat yang sedang dibuat di Seberang Perai dan mengambil tempoh 10 hingga 15 tahun untuk siap dibina.
Dilaporkan harga rumah awam ini juga antara RM72,000 hingga RM220,000 seunit sedangkan jika mengikut harga perumahan awam ini mestilah tidak lebih RM42,000 seunit. - MediaUMNO
Post a Comment