KUALA LUMPUR 21 Feb. - Pergeseran pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Johor membuktikan tidak wujud permuafakatan di kalangan parti-parti pembangkang walaupun dalam persoalan asas, menurut penganalisis politik.
Prof Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pengundi perlu memberi perhatian kepada latar belakang dan kredibiliti pemimpin pembangkang kerana rata-rata mereka hanya cenderung kepada kuasa dan jawatan daripada soal perjuangan parti yang sebenar.
"Contohnya di dalam PKR sendiri kebanyakan mereka keluar dari BN kerana tidak ditawarkan jawatan seperti Datuk Chua (Jui Meng) yang ditolak oleh MCA sendiri," katanya.
Konflik dalaman DAP dan PKR di negeri itu dikatakan berlaku disebabkan perebutan kerusi antara kedua-dua parti dan ia memuncak apabila pengerusi DAP negeri Dr. Boo Cheng Hau dilapor mahu Chua dilucutkan daripada jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri.
Ini berikutan dakwaan Boo bahawa Chua sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.
Sehubungan itu, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh, dalam satu kenyataan semalam menggesa pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bertindak sebagai perantara agar peluang pembangkang di negeri itu tidak menerima kesan negatif daripada sebarang perbuatan sabotaj.
Satu daripada kerusi yang dikatakan menjadi 'rebutan' antara PKR dan DAP Johor ialah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang Tan Ah Heng dari Barisan Nasional (BN).
Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.
Post a Comment