Headlines News :
Home » » DAP mula serang BN menjelang PRK P44 Permatang Pauh

DAP mula serang BN menjelang PRK P44 Permatang Pauh

DAP sudah mula melancarkan serangan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei ini.

Sepertimana dijangkakan, DAP masih mengekalkan 'strategi' lapuk yang diguna pakai setiap kali kempen pilihan raya dengan menjadikan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'modal' untuk meraih sokongan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa setiap pengundi di Permatang Pauh menolak BN sekiranya tidak bersetuju dengan perlaksanaan GST oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 April lalu.

Guan Eng berkata, pengundi di sana harus sedar kepimpinan kerajaan ketika ini berada dalam situasi kritikal selepas Tun Mahathir membangkitkan beberapa isu yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Kita beritahu rakyat bahawa sokongan kepada BN adalah sokongan kepada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)

“Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menyebut bahawa sesiapa yang menyokong Najib, itu bermakna mereka menyokong hutang 1MDB.

“Jadi, saya harap rakyat dapat memilih parti mana yang membela hak mereka, yang menentang GST dan menentang hutang 1MDB,” ujar Guan Eng.

Beliau menyifatkan krisis yang berlaku di antara Tun Mahathir dan Najib telah mengakibatkan UMNO Kedah bergolak sehingga wujud desakan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berkenaan agar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Menurut beliau, isu tersebut pastinya memberi tekanan kepada UMNO ketika ini dan pihaknya pasti akan cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan menjadi PRK di Permatang Pauh sebagai alasan untuk menutup pergolakan dalaman parti berkenaan.

“ADUN-ADUN mereka di sana sekarang telah mencabar Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, dan mungkin ada yang akan paksa beliau letak jawatan.

“Kita harap UMNO tidak gunakan PRK ini untuk mengalihkan perhatian daripada krisis ini,” tegasnya lagi.

Kenyataan tersebut telah membuktikan bagaimana sikap pembangkang yang ketandusan idea bagi meraih sokongan penduduk di sana.

'Serangan-serangan' sedemikian sudah acap kali dipergunakan oleh pembangkang sehingga rakyat sudah 'mengetahui' isu-isu yang akan dibawa oleh pihak berkenaan setiap kali menjelang pilihan raya.

Namun begitu,  keputusan PRK Parlimen Permatang Pauh pastinya akan dinanti-nantikan kerana kawasan tersebut adalah kubu kuat PKR.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger