Headlines News :
Home » » BN P.PINANG PERLU REALISTIK RAIH UNDI CINA BUKAN RETORIK

BN P.PINANG PERLU REALISTIK RAIH UNDI CINA BUKAN RETORIK




PERMATANG PAUH - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sedang berusaha mengenal pasti kawasan yang mempunyai potensi untuk meraih kembali sokongan pengundi Cina di negeri ini.
 
Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata, untuk itu MCA dan Gerakan negeri akan melaksanakan pendekatan baharu dalam membawa rungutan dan isu rakyat dari kawasan berkenaan kepada BN untuk diselesaikan.
 
"Rungutan terhadap Pakatan Rakyat memang sudah terdengar dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini. Usaha sekarang ialah bagaimana kita boleh menukar rungutan ini kepada undi.
 
"Ini adalah cabaran kepada MCA dan Gerakan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di Wisma Transformasi UMNO di sini malam tadi.
 
Menurut Teng, kedua-dua parti komponen itu juga masih dalam proses pengumpulan data untuk memantau peratusan bilangan pengundi Cina yang kembali menyokong BN sama ada berada pada tahap memuaskan atau sebaliknya.
 
Chang Yeow berkata, parti itu kini memberi tumpuan dalam kempen multimedia baharu terutamanya dalam menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh.
 
Beliau berkata, persiapan di peringkat bahagian buat masa ini berjalan lancar dan amat baik, namun beberapa jentera parti perlu diperkemaskan lagi bagi memastikan PRK kali ini memihak kepada BN.
 
"Kita tak pasti (bila PRK Permatang Pauh akan diadakan) sebab sudah ada permohonan pengampunan. Bagaimanapun, kita kena lakukan kerja-kerja persiapan supaya kita tak terperangkap dengan keadaan mengejut.
 
"Kita tak boleh menunggu sehingga (kerusi Parlimen Permatang Pauh) diisytiharkan kosong.
 
"Kita kena mulakan kerja-kerja kita dari sekarang. Kalau tak diisytiharkan kosong dalam jangka masa terdekat ini, kita buat sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.
 
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 24 Feb lepas mengesahkan telah menerima salinan petisyen pengampunan yang difailkan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
 
Petisyen pengampunan itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
 
Anwar kini ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada 10 Feb lepas, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas menolak rayuannya. - Bernama
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger