Headlines News :
Home » » TPM nafi kenyataannya pasal 1MDB bercanggah dengan PM

TPM nafi kenyataannya pasal 1MDB bercanggah dengan PM




Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menangkis cubaan portal pro pembangkang yang cuba putar seolah beliau bercanggah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu Jumaat yang turut memberi beberapa pandangan mengenainya ekoran keputusan kabinet yang dapati tiada salahlaku dalam 1MDB.

"Saya tidak fikir begitu, jika anda baca betul-betul dan memahami apa yang saya tulis dalam kenyataan saya, saya rasa ia adalah kenyataan yang adil.
"Ia adalah keputusan yang adil. Ia bukan bercanggah dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri," katanya kepada wartawan selepas pertemuan tertutup dengan Wanita UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di Muar Sabtu.

Menurut Muhyiddin dalam kenyataan itu beliau bukan hanya menyuarakan apa yang dibincangkan oleh Kabinet membabitkan isu itu, malah lebih jauh daripada itu.
Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan untuk mengesahkan akaun 1MDB oleh Ketua Audit Negara adalah keputusan yang adil' dan mengambil kira kepentingan umum.
Selepas mesyuarat kabinet Rabu lalu Perdana Menteri arah mahukan Ketua Audit Negara membuat pengesahan ke atas akaun syarikat itu. Najib juga berkata laporan AG itu kelak akan diserahkan kepada PAC untuk ketelusan.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata Ketua Audit Negara perlu diberikan sumber yang diperlukan untuk menjalankan tugas mereka dengan berkesan.
Selain itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang akan turut terbabit dalam isu itu juga selari dengan keputusan Kabinet, katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan pengurusan 1MDB supaya memastikan setiap perancangan mereka tidak meletakkan kerajaan dalam 'kedudukan yang sukar'.
"Saya ingatkan bahawa 'tidak ada usaha menyelamat' kerana saya yakin rakyat Malaysia mahukan jaminan itu," katanya.
Dalam kenyataannya Muhyiddin berkata dana awam tidak harus digunakan untuk menyelamat 1MDB, dan menambah bahawa lembaga pengarah mesti bertanggungjawab terhadap salah laku yang dikesan.
Sementara itu di KUALA PILAH, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah meluluskan laporan kewangan diaudit 1MDB bagi tahun 2010-2014.
"Hingga hari ini, tiada pelaporan oleh juruaudit 1MDB kepada SSM di bawah Seksyen 174 (8A) Akta Syarikat berhubung kesalahan serius seperti 'penipuan dan penyelewengan' ditemui sewaktu proses audit terhadap 1MDB," katanya dalam kenyataan media selepas merasmikan majlis penutup program Santai Anak Kampung Tengkek di Hutan Lipur Jeram Tengkek.
Katanya adalah satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 terhadap juruaudit jika juruaudit gagal melaporkan sebarang kesalahan serius kepada SSM yang membawa hukuman penjara 7 tahun atau denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Hasan berkata peruntukan Akta Syarikat berhubung penyerahsimpanan penyata tahunan dan penyata kewangan juga telah dipatuhi.
Oleh itu, katanya, penyalahgunaan dana 1MDB adalah satu dakwaan semata-mata dan telah pun dinafikan oleh pihak-pihak berkaitan termasuk 1MDB dan Petro Saudi Limited. -7/3/2015
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger