PULAU PINANG 3 Jan. – Badan Perhubungan UMNO negeri meminta pihaknya tidak dikaitkan dengan laporan polis yang dibuat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan semalam.
Reezal Merican Naina Merican
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, setiap pihak mempunyai hak untuk berbuat demikian sekiranya berasakan berada di pihak benar namun harus menanggung kesan jika laporan yang dibuat itu tidak berasas.
Dalam isu membabitkan laporan polis oleh Khairuddin terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula, Reezal Merican berkata, pihak yang berasakan mereka menjadi mangsa harus tampil memberi penjelasan segera.
“Sekiranya 1MDB beranggapan laporan awal yang dibuat terhadap mereka tidak benar, maka 1MDB harus tampil memberi penjelasan dan membuat laporan polis semula," katanya selepas melawat mangsa ribut di Balik Pulau di sini hari ini.
Reezal Merican berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa NGO membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Mertajam semalam meminta supaya Khairuddin disiasat kerana didakwa membuat laporan palsu terhadap 1MDB.
Mengulas lanjut, Reeezal Merican berkata, laporan polis semalam tidak ada kena mengena dengan UMNO negeri dan meminta pihak tertentu supaya tidak membuat spekulasi dan memanjangkan isu berkenaan
Post a Comment