Sambil mengutuk sekeras-kerasnya gesaan itu, Presidennya, Rahmad Isahak berkata, perkara tersebut juga sengaja ditimbulkan bagi menutup kegagalan DAP memaksa Pas tunduk dalam isu hukum hudud.

“Sehubungan itu, bagi ‘menebus’ kesilapan mereka khususnya kepada masyarakat Cina, maka DAP terpaksa mewujudkan isu baharu dengan mendesak dilakukan perubahan secara menyeluruh terhadap Perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.


Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari seperti disiarkan dalam portal propembangkang baru-baru ini yang menuntut kontrak Persekutuan dikaji semula dan usaha ke arah desentralisasi atau pengagihan kuasa Pusat digalakkan demi membentuk Persekutuan yang benar-benar menghormati hak dan kesejahteraan negeri-negeri di bawah naungannya.

Beliau turut menempelak Zairil yang mahukan desentralisasi ataupun pengagihan kuasa Pusat.
Menurutnya, Perlembagaan negara dan lingkungan skopnya amat jelas dan adil antara urus tadbir kerajaan Pusat dengan seluruh negeri.

Tambah beliau, adalah tidak adil untuk kerajaan DAP Pulau Pinang menjadikan isu sumbangan kepada perbendaharaan Persekutuan untuk menggesa supaya Perlembagaan negara dirombak.

Katanya, negeri-negeri lain juga termasuk yang ditadbir pembangkang turut menyumbang sebahagian hasil negeri kepada perbendaharaan Persekutuan, namun tidak pernah mempersoalkannya.

“Maka, di mana rasionalnya Zairil membangkitkan isu berkenaan? Atau ini merupakan satu pelan peralihan tahun baharu bagi memancing kepercayaan rakan sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang kebelakangan ini umpama retak menanti belah,” katanya.

Menurut Rahmad, Zairil sepatutnya menyedari keutamaan dalam parti DAP ketika ini iaitu menubuhkan Biro Agama dan Ekonomi Melayu bagi melindungi kaumnya sendiri berbanding mendesak supaya Perlembagaan negara dikaji semula.