Presidennya, Rahmad Isahak berkata, konvensyen berkenaan perlu diharamkan kerana pemimpin DAP tiada kuasa memanggil persidangan berkenaan memandangkan arahan ROS bertarikh 6 Disember 2013 masih berkuat kuasa.

Katanya, arahan berkenaan dengan jelas melarang pemegang Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang belum disahkan jawatan mereka, membuat sebarang keputusan parti sehingga siasatan terhadap DAP selesai.

Dalam hal ini, Rahmad berkata, segala keputusan yang dibuat dalam konvensyen berkenaan termasuk usul dan resolusi yang dipersetujui oleh perwakilan telah melanggar peraturan ROS.

“Lebih parah ada resolusi yang ditetapkan dalam perwakilan berkenaan iaitu menolak hukum hudud yang berkait dengan agama Islam sekiranya pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Katanya, ROS tidak seharusnya berdiam diri dan membiarkan pemimpin parti berkenaan sesuka hati melanggar peruntukan undang-undang negara. 

“Rakyat berhak mengetahui sama ada arahan bertarikh 6 Disember berkenaan masih relevan atau sudah dibatalkan tanpa pengetahuan umum,” katanya. -

“Sekiranya masih terpakai dan kebal di sisi undang-undang, mengapa tidak ada tindakan drastik diambil untuk menghentikan perbuatan melampau oleh pemimpin parti berkenaan,” katanya. -