Semalam, sekurang-kurangnya 450 rumah di lapang kampung di Balik Pulau rosak selepas ribut Langkisau dengan kelajuan 50 kilometer sejam membadai kawasan itu selama kira-kira enam jam bermula pukul 8 malam.
Kampung Sungai Rusa antara yang paling teruk terjejas selepas sebanyak 240 rumah rosak dengan majoriti bumbung diterbangkan angin kuat malah ada rumah hampir roboh.
Turut terjejas adalah penduduk di 120 rumah di Kampung Permatang Pasir, Pantai Acheh (44), Kuala Jalan Baru (17), Jalan Baru (17) dan 20 buah rumah di Sungai Pinang namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan.
Selain itu, balai raya; Pondok Polis Air Putih; Masjid Jamek Sungai Rusa; restoran; kedai runcit dan sebuah pusat tahfiz turut terkena tempias angin pusar yang didakwa penduduk datang dari arah bukit.
Ekoran kejadian itu, sebuah pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa dibuka bagi menempatkan kira-kira 200 penduduk yang terjejas kerana terputus bekalan elektrik.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Sungai Rusa, Mohamad Kassim, 52, berkata, ketika kejadian dia baru tiba dari Langkawi dan terkejut melihat angin pusar dari arah bukit sedang menghampiri kawasan rumahnya.
“Isteri saya bersama lapan anak dan dua cucu terpaksa berlindung dalam bilik di tingkat bawah dan kira-kira pukul 12 tengah malam, angin kuat menerbangkan bumbung rumah kami manakala bahagian garaj turut runtuh dan menimpa kereta,” katanya.
Menurutnya, pusaran angin yang berterusan menyebabkan sebatang pokok manggis besar tumbang dan menghempap bahagian dapur rumah kakak iparnya yang terletak bersebelahan manakala sebatang pokok durian turut tumbang melintangi jalan sehingga menyebabkan mereka sekeluarga terperangkap.
“Saya hanya mampu melaungkan azan ketika itu dan tidak lama kemudian, anggota polis datang meminta supaya kami dan jiran- jiran pergi ke masjid untuk berlindung,” katanya.
Sementara itu, nasib malang penduduk terlibat mendapat perhatian wakil rakyat kawasan berkenaan yang turun padang antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; ADUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad , ADUN Bayan Lepas, Nordin Ahmad & Ketua Pemuda UMNO P.Pinang Rafizal Abd Rahim .
Muhamad Farid berkata, penilaian kini sedang dibuat Jabatan Perdana Menteri bagi mengenal pasti jumlah kerugian sebelum bantuan disalurkan selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membuka kaunter pendaftaran untuk membantu mangsa.
Post a Comment