Headlines News :
Home » » Titik Perubahan Buat Gerakan – Mah Siew Keong

Titik Perubahan Buat Gerakan – Mah Siew Keong


Ahli Parlimen Teluk Intan yang baharu, Datuk Mah Siew Keong menganggap kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan merupakan titik perubahan kepada parti Gerakan.
Beliau yang merupakan presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) itu berkata, kemenangan itu sesuatu yang membanggakan buat dirinya dan parti.
Pada masa sama, Mah mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk pengundi dan jentera BN yang membantu dalam kemenangan beliau.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Teluk Intan kerana memberikan peluang kepada saya.
“Saya berasa amat bangga kerana dengan kerjasama semua parti komponen Barisan Nasional kali ini apabila kita dapat membuat kejayaan dengan amat baik.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon BN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman mengenai kemenangannya yang berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib dekat sini, malam Sabtu.
Dalam pada itu, Mah turut mengucapkan. terima kasih kepada temannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong di bawah Parlimen Teluk Intan, Datuk Azhar Jamaluddin dari BN yang memberikan sokongan baik kepada beliau.
“Kita akan bekerjasama selepas ini untuk Teluk Intan,” katanya yang merujuk kepada Adun Changkat Jong itu.
BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.076 pada Sabtu dengan majoriti tipis 238 undi.
Calonnya, Datuk Mah Siew Keong, 53, memperoleh 20,157 undi, menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad pada pukul 9.38 malam.
Kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng dari DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger