Headlines News :
Home » » GUAN ENG MENGAKU TAK DIBERITAHU PKR ISU LETAK JAWATAN ADUN KAJANG

GUAN ENG MENGAKU TAK DIBERITAHU PKR ISU LETAK JAWATAN ADUN KAJANG




Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat seolah-olah membelakangkan kerjasama dengan parti pembangkang lain dalam isu pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng mengakui beliau langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, beliau hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor menerusi laporan akhbar dan portal berita.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak boleh memberi pandangan lanjut kerana tidak mengetahui perkembangan sebenar yang berlaku dalam isu tersebut.
"Saya tidak dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa-apa kemajuan dan perkembangan di Selangor.

"Oleh kerana saya tidak dimaklumkan langsung, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku, jadi saya rasa lebih baik semua persoalan ditujukan kepada Anwar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sijil kelulusan polis bantuan PBA Holdings Bhd. (PBA Holdings) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Semalam, Chin Cheh mengumumkan meletak jawatan sebagai ADUN Kajang tanpa sebarang alasan berkuat kuasa serta-merta ketika kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar menjadi tanda tanya.

Hari ini, keputusan Chin Cheh meletak jawatan itu disusuli dengan pengumuman oleh Abdul Khalid bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding merebut kerusi itu dalam pilihan raya kecil akan datang.

Dalam pada itu, ketika ditanya pandangannya mengenai isu peletakan jawatan Chin Cheh dan kemelut Menteri Besar Selangor, Guan Eng berkata, beliau tidak berasakan pandangannya berhubung isu tersebut adalah penting.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui mempunyai pandangan peribadi berhubung kemelut itu namun tidak menyatakannya.


Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger