Laporan kegiatan perisikan Amerika Syarikat (AS) di banyak negara seluruh dunia termasuk Malaysia menimbulkan persoalan tentang keikhlasan dasar hubungan diplomatik negara itu.
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melihat kegiatan perisikan AS sebagai tindakan yang mempertikaikan kedaulatan negara-negara yang menjadi sasaran.
Alasan Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun kononnya kemudahan perisikan elektronik AS yang dipasang di negara terbabit termasuk Malaysia bertujuan memantau kegiatan pengganas dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) adalah sama sekali tidak boleh diterima.
Jika AS ikhlas dengan persahabatan yang telah dijalinkan sejak sekian lama dengan negara kita, mereka hanya perlu meminta bantuan, bekerjasama rapat dan berkongsi maklumat tentang ancaman tersebut dengan pihak berkuasa Malaysia seperti polis dan tentera untuk tindakan selanjutnya.
Perbuatan ini seolah-olah merendah-rendahkan kemampuan perisikan dan keselamatan negara serta memberi isyarat bahawa AS membelakangkan kedaulatan dan keupayaan pihak berkuasa Malaysia.
Sayap Pemuda UMNO memandang serius isu ini dan menggesa Kementerian Luar supaya mengambil tindakan segera dengan minta Kedutaan AS menjelaskan kesahihan laporan-laporan risikan ke atas kerajaan Malaysia.-1/11/2013
Post a Comment