KUALA LUMPUR: Sebanyak 273 usul daripada 191 bahagian Umno diterima untuk diperhalusi bagi dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 2 hingga 7 Disember ini.
Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya menerima 301 usul dan 28 daripadanya diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.
Katanya usul-usul yang akan dibentangkan itu dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu usul ekonomi akan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
"Manakala Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan mengetuai jawatankuasa usul agama dan pendidikan," katanya dalam sidang media di sini Khamis.
Hishammuddin berkata usul politik mendominasi senarai usul yang diterima iaitu sebanyak 72, diikuti agama 37, ekonomi 36, pendidikan 46, sosial 12 dan lain-lain usul 70.
Beliau berkata selain usul memperkasa agenda ekonomi Bumiputera, keputusan atau prestasi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lepas merupakan antara isu yang dijangka 'hangat' yang akan disentuh ketika perwakilan membahaskan ucapan dasar presiden.
Pada pilihan raya umum lepas Umno memenangi 88 kerusi daripada 133 kerusi yang dikuasai Barisan Nasional.
Selain mahu agenda ekonomi Bumiputera terus diperkasakan, beliau berkata perbahasaan usul ekonomi juga akan menyentuh bagaimana ekonomi Bumiputera dapat dan harus digerakkan dan boleh dirasai semua pihak yang berkenaan.
Ditanya apakah perhimpunan kali ini akan dijadikan medan oleh perwakilan untuk mendesak supaya pemilihan Umno kembali kepada sistem lama, Hishammuddin berkata sedikit kelemahan pada sistem itu berikutan pindaan perlembagaan parti tidak boleh dijadikan asas untuk kembali menggunakan aturan lama.
"Itu tidak boleh jadi sebab untuk kita membuat pusingan, masalah sedikit yang timbul menuntut kita untuk sama-sama membetulkan mana yang kurang, proses mengupayakan suara akar umbi sedang berjalan dan saya percaya itu proses berani yang akar umbi Umno lakukan," katanya. - BERNAMA
+ comments + 1 comments
DAN....JANGAN LUPA , BAWA USUL MENGENAI HAL DALAM PETRONAS SEKARANG YANG TERDAPAT SEORANG CINA DALAMNYA.......
Post a Comment