- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang buat pertama kali muncul di Dewan Rakyat hari ini menyanggah secara berfakta soalan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) berhubung isu pengangguran di Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Anwar, beliau menegaskan jawapannya kepada ahli-ahli Parlimen terutama kedudukan kadar tiga peratus pengangguran di negara ini bukan sahaja diketahuinya malah jawapan itu juga berasaskan kepada pengalamannya di sektor swasta.
Sehubungan itu bekas Ketua Eksekutif Maybank itu berkata, kadar tiga peratus pengangguran di Malaysia merupakan satu kedudukan yang sepatutnya dihormati dan pencapaian itu lebih baik berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (sembilan peratus) dan United Kingdom (lapan peratus).
''Sebagai contoh pada minggu lalu Naib Presiden Kanan Bank Dunia, Kaushik Basu telah datang ke Malaysia dan beliau mengiktiraf kedudukan ekonomi negara yang begitu baik," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar ketika bangkit mengemukakan soalan tambahan telah mempertikaikan kadar pengangguran tiga peratus yang berjaya dicapai oleh Malaysia ketika ini dengan menyatakan angka itu hanya berdasarkan kepada mereka yang berdaftar sahaja.
Menjawab satu lagi soalan tambahan Anwar, Abdul Wahid berkata, berdasarkan kajian susulan kerajaan terhadap siswazah-siswazah yang telah menamatkan pengajian, didapati sebahagian besar mereka berjaya mendapat pekerjaan paling lama dalam tempoh dua tahun.
''Berdasarkan kajian 60 peratus daripada jumlah siswazah yang menamatkan pengajian berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan, 15 peratus lagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan baki 25 peratus agak lambat sedikit mendapat kerja yang sesuai," ujarnya semasa menjawab soalan tambahan Anwar yang menyatakan pada masa ini terdapat 80,000 siswazah menganggur.
Menjawab soalan asal Azmin Ali (PKR-Gombak) Abdul Wahid berkata, Malaysia berjaya mengekalkan kadar pengangguran di bawah empat peratus sejak 20 tahun lalu dan kedudukan itu mengikut takrifan dunia merupakan kadar guna tenaga penuh.
Beliau berkata, pencapaian itu berkait rapat dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang cukup baik dari setahun ke setahun.
''Pada tahun 2011 kadar pertumbuhan ekonomi negara ialah 5.1 peratus dan hasilnya sebanyak 385,000 peluang pekerjaan berjaya ditawarkan kepada rakyat.
''Pada tahun lalu kadar pertumbuhan ekonomi lebih tinggi iaitu 5.6 peratus dan melalui angka itu sebanyak 438,800 peluang pekerjaan terhasil," katanya.
Azmin sebelum mengemukakan soalan tambahan secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Abdul Wahid apabila berjaya mengupas isu pengangguran serta statistik-statistik yang berkaitan dengan baik.
Terdahulu, Abdul Wahid sebelum menjawab soalan asal Azmin telah menghulurkan salam persahabatan kepada semua ahli Parlimen.
Post a Comment