Headlines News :
Home » » Najib cabar Pakatan bawa bukti berlaku penipuan PRU ke mahkamah

Najib cabar Pakatan bawa bukti berlaku penipuan PRU ke mahkamah



Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa UMNO tidak tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu sebaliknya parti tersebut berjaya menambahkan bilangan kerusinya daripada 79 kepada 88.

 Tegas beliau, perhimpunan sempena ulang tahun ke 67 UMNO di Dewan Merdeka menunjukkan bahawa parti tersebut gagah perkasa.  


“UMNO bukan parti rasis. UMNO parti yang sederhana dari dulu hingga sekarang. Kita memberi keadilan hak kepada bukan Melayu dalam negara kita dan kita menganggap mereka sebagai rakan kongsi.

 “Kita tetap akan pertahankan dasar yang sederhana dan saksama dalam negara ini. Inilah formula yang terbaik dan bukannya formula keterlaluan untuk memancing undi yang akhirnya akan memusnahkan negara kita. Kita tidak akan benarkan politik yang sedemikian,” tegas beliau.

 Ujarnya, meskipun diasak dan diserang dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah dan mehna tetapi akhirnya rakyat Malaysia telah membuat keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan, ingin kepada kesinambungan dan ingin melihat agenda pembangunan dan transformasi negara yang dibawa oleh BN diteruskan.

 “Saya sebagai Pengerusi BN lebih awal lagi menyatakan bahawa BN akan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam PRU namun yang anehnya mereka yang banyak bersuara tentang demokrasi, yang mengatakan bahawa rakyat itulah yang akan menentukan segala-galanya setelah PRU berakhir tetapi enggan menerima keputusan demokrasi Parlimen yang telah ditentukan oleh rakyat Malaysia.” Katanya, pelbagai alasan diberikan oleh pembangkang kononnya telah berlaku penipuan dalam PRU13.

 “Mereka bawa cerita kononnya kita mengimport 40,000 Mat Bangla untuk mengundi dalam pilihan raya. Kalau nak bawa 40,000 Mat Bangla, sebuah Jumbo muatannya 400 bererti 100 buah Jumbo terpaksa mendarat di lapangan terbang. Saya nak tanya kepada pembangkang, tunjuk d imana ada 100 buah jumbo yang telah mendarat di lapangan terbang kita.

 “Mereka mengembar-gemburkan satu pembohongan dalam media sosial dan dalam cerita-cerita yang tersebar dari mulut ke mulut seolah-olah satu cerita dongeng sebagai kebenaran yang mutlak. Yang menghairankan kita, orang yang dikatan cerdik pandai pun termakan dengan cerita tersebut. Inilah angkara yang telah dibuat oleh pembangkang.”

 Bidasnya, dakwat kekal dipertikaikan walhal dakwat kekal itulah yang dituntut mereka sebagai satu kaedah dalam pilihan raya. “


Cerita yang kecil dibesarkan, ‘blackout’ dalam satu kawasan dikatakan sebagai salah satu cara untuk menipu walhal daftar pemilih itu ada dalam tangan mereka di setiap saluran mengundi, ada ‘polling agent’ yang menunggu dan menyaksikan segala prosesnya.

 “Sehingga ke hari ini belum ada bukti bahawa penipuan berlaku, maka kalau ada satu bukti bawalah ke mahkamah dan kita sanggup menerima apa jua keputusan mahkamah tetapi jangan sekali-kali menyusahkan rakyat, mencemarkan nama negara kita ini semata-mata kemaruk kuasa yang tidak kesampaian.”

 Soal beliau lagi, inikah yang dikatakan mereka mengamalkan prinsip demokrasi, memperjuangkan sistem yang adil, yang terbuka dan sebagainya? 


“Tidak ada rasuah, tidak ada nipotisme tapi hari ini Timbalan Presiden partinya telah pun berlaku nipotisme dalam parti.

 “Adakah ini ‘double standard’ kalau sistem pilihan raya ini begitu tercemar, sudah dinodai dengan penipuan walhal kenapa angkat sumpah (Ketua Menteri) di Pulau Pinang, kenapa angkat sumpah di Kelantan, kenapa sudah terima di Permatang Pauh, kenapa sudah terima di Gelang Patah.

Dengan sistem yang sama digunakan tapi jika menguntungkan mereka akan diterima sebaliknya jika tidak menguntungkan akan ditolak. Inilah hipokrasi yang paling besar.”

 Dalam masa yang sama, beliau juga mengajak rakyat bermuhasabah dengan memperbetulkan segala kelemahan dan kekurangan di samping berterima kasih kepada semua pengundi selain mencari punca kenapa mereka tidak mengundi BN.

 “Jangan kita sombong, jangan kita angkuh kerana kita adalah parti yang disokong rakyat yang suka dan percaya dengan apa yang telah kita perjuangkan.” - MediaUMNO






Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger