GEORGETOWN: Tiada 'blueprint' yang jelas dikenalpasti sebagai faktor pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang dianggap lemah, kata Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Menurut beliau meskipun setelah lima tahun DAP memerintah negeri itu, halatuju kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri Lim Guan Eng masih samar baik aspek pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan tempatan.
Bekas ahli PKR itu berkata, DAP mempunyai ramai ahli politik yang berpengalaman, sepatutnya telah menyediakan pelan rancangan pembangunan negeri sebaik sahaja berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum 2008.
Namun yang dikesali kata Tan, sehingga hari ini banyak projek-projek masih terbengkalai di negeri itu sebaliknya terus memberi keutamaan kepada keuntungan kroni.
"Kalau lima tahun tak cukup, berapa tahun lagi nak cukup? Yang terpenting sekali, exco-exco yang sedia ada di peringkat negeri Pulau Pinang mempunyai ahli politik yang berpengalaman seperti Phee Boon Poh, Chow Kon Yeow yang sudah lama dalam arena politik.
"Walaupun tidak pernah memerintah sesebuah negeri, mereka masih ada pengalaman macam mana nak laksanakan satu polisi.
"Ataupun, selepas 2008, membuat satu 'blueprint' untuk pembangunan negeri Pulau Pinang. Tapi sampai sekarang langsung tidak ada.
"Jadi kalau beri (mandat) 10 tahun, apa akan jadi? 15 tahun (pun) kalau tidak ada 'blue print'. Nak bagi masa lagi?" kata beliau.
Tan pada tahun 2010 bertindak keluar PKR selepas lantang mengkritik cara pentadbiran Guan Eng yang didakwa ala diktator.
Sementara itu Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua Teik Siang yang ditemui berkata, pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang terlalu bergantung kepada peranan Guan Eng sebagai Ketua Menteri.
Menurutnya tiada suara kolektif wakil rakyat tempatan bersabit sebarang keputusan.
"Pada pandangan saya, pentadbiran kerajaan negeri Pakatan di Pulau Pinang cuma seorang yang buat keputusan.
"Di mana exco-exco yang lain? Kalau mereka membuat cadangan yang bertentangan dengan Ketua Menteri, ini akan menjadi masalah.
"Kalau Ketua Menteri tidak memberi penghormatan kepada lain yang juga menang, yang sepasukan dengan Pakatan, saya nak tanya apakah tujuan mereka?
"Kedua, kalau mandat diberi lagi sekali kepada mereka dan hanya Ketua Menteri seorang yang memerintah, apakah yang akan terjadi kepada polisi-polisi yang telah dilaksanakan kerajaan BN (sebelum ini)?" soal beliau.
DAP kini berdepan dengan isu kredibiliti apabila terpaksa mengubah keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas mengesan kesilapan pengiraan undi.
Ahli akar umbi parti itu sehingga hari ini terus mendesak agar DAP mengadakan pemilihan semula untuk membuktikan ketelusan, namun mendapat respon hambar daripada pemimpin tertinggi.
Sehubungan dengan itu lebih daripada lima laporan telah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk melakukan siasatan sekiranya parti DAP melanggar undang-undang pertubuhan.
Post a Comment