Headlines News :
Home » » Tiada himpunan bakar bible versi bahasa Melayu di P.Pinang - Polis

Tiada himpunan bakar bible versi bahasa Melayu di P.Pinang - Polis




Butterworth: Polis Pulau Pinang memuji sikap rakyat negeri ini yang mematuhi arahan agar tidak menyertai rancangan membakar Bible versi Bahasa Melayu yang dikatakan diadakan di Dewan Datuk Ahmad Badawi Jalan Bagan Luar, di sini.
 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya berterima kasih kepada umat Islam kerana mematuhi arahan dengan tidak menyertai aktiviti berkenaan selepas gesaan dibuat sebelum ini.
 
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan berkenaan amat dikesali kerana ia boleh menggugat keharmonian dan keamanan yang dikecapi negara selama ini.
 
“Nampaknya tak ada aktiviti (bakar Bible versi Bahasa Melayu) hari ini (semalam) seperti yang didakwa. Sebelum ini juga kita ada menggesa masyarakat Islam supaya tidak sertai rancangan tersebut dan setakat ini kita dapati masyarakat Islam khususnya di Pulau Pinang tidak menyertainya.
 
“Sebagai seorang yang bertanggungjawab mengenai keselamatan dan ketenteraman awam, saya menggesa masyarakat negara ini supaya tidak menyentuh sensitiviti agama dan budaya. Kita di Malaysia selama ini hidup dalam suasana harmoni dan isu ini (agama dan budaya) jika dimainkan boleh mengugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Balai Polis Butterworth, di sini, tadi.
 
Minggu lalu, polis menerima laporan daripada seorang paderi yang menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar Bible Melayu demi masa depan cucu kita' diletak di dalam peti surat di sebuah gereja.
 
Risalah itu antara lain meminta umat Islam berkumpul di Dewan Ahmad Badawi Jalan Bagan Luar bagi tujuan tersebut.
 
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, pihaknya masih menyiasat siapa yang bertanggungjawab mengedarkan risalah terbabit mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan perpecahan harmoni dan perpaduan, rasa tak puas hati, prejudis berdasarkan agama boleh disabitkan dengan hukuman penjara di antara dua hingga lima tahun.
 
Bagaimanpun, katanya, setakat ini polis sudah menerima tujuh laporan dari seluruh negara yang menggesa siasatan dilakukan ke atas Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang didakwa ada hubung kait dengan pengedaran risalah itu.
 
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula Ibrahim dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan.
Share this post :

Post a Comment

 

Copyright © 2012. MyPenangOnline - All Rights Reserved

Proudly powered by Blogger